suria

Dua Lelaki Dihukum Gantung Kerana Edar Ganja

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini pada Ahad menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas dua lelaki yang didapati bersalah mengedar 11,135 gram ganja empat tahun lalu.

Hakim Datuk Zamani A. Rahim berkata pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Ramli Abd Rahman, 36, dan Sulaiman Ismail, 38, tanpa keraguan yang munasabah.

"Saya tidak dapat mempercayai keterangan (pembelaan) kedua-dua tertuduh. Mereka tidak dapat menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan. Saya berpendapat pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesnya," kata beliau ketika membacakan penghakimannya.

Ramli, seorang pekebun sayur, dan Sulaiman, seorang penjawat awam, dituduh melakukan kesalahan itu di hadapan Tokong Cina Kwong Hock Keong, Junjung, Kulim, kira-kira pukul 9 malam, 3 Mei 2006.

Mereka dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Nor Hasnita Wan Daud manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Subash Hassan. - BERNAMA

Artikel Lain