suria

22 IPTS Dibatal Kelulusan Tahun Lalu

KUALA LUMPUR: Sebanyak 22 buah kolej dibatalkan kelulusan penubuhan sebagai institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tahun lalu, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Pembatalan yang dibuat mengikut subseksyen 54(1) Akta IPTS 1996 itu menjadikan jumlah keseluruhan kolej yang dibatalkan kelulusan sejak 2007 sehingga kini sebanyak 78 buah, katanya.

"Kita terpaksa batalkan atas sebab-sebab ketidakupayaan IPTS ini memberikan perkhidmatan bermutu akibat kelemahan tertentu terutamanya dalam soal kewangan.

"Selain itu ada IPTS tidak beroperasi, tiada kursus atau menawarkan kursus tidak menepati piawaian, tiada pelajar dan jumlah pelajar tidak mencukupi," katanya pada sidang media selepas melancarkan Pameran Pendidikan Persatuan Institusi Pendidikan Swasta Kebangsaan (NAPEI) ke-29 di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Presiden NAPEI Profesor Elajsolan Mohan, Presiden Pengasas Napei Tan Sri Yahaya Ibrahim dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Zita Mohd Fahmi.

Saifuddin berkata pembatalan kelulusan itu terpaksa dilakukan bagi memelihara industri pendidikan swasta daripada dicemari prestasi kurang memberangsangkan sesetengah IPTS sehingga boleh memberi kesan kepada pasaran IPTS lain.

Saifuddin berkata kerajaan menjangkakan bilangan IPTS akan terus bertambah di bawah Rancangan Malaysia ke-10 bagi memenuhi tuntutan melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir berkelulusan tinggi.

"Kita memang mengalu-alukan kehadiran lebih banyak IPTS dalam negara ini dan kita juga sebenarnya sedang mencari jalan bagaimana untuk menarik kehadiran IPTS dari luar negara untuk membina kampus mereka di negara ini," katanya.

Terdahulu semasa berucap, Saifuddin berkata IPTS perlu mengelak daripada terlalu bergantung kepada bayaran Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pelajarnya sebagai sumber kewangan.

Katanya jika pelajar berkenaan tidak mendapat pembiayaan daripada PTPTN, IPTS terbabit akan berdepan dengan masalah untuk meneruskan operasi mereka. - BERNAMA

Artikel Lain