suria

1Malaysia Galak Dan Kukuhkan Demokrasi, Perpaduan Malaysia - Duta Asing

KUALA LUMPUR: Anggota diplomat dan perwakilan asing di negara ini yakin konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menggalak dan mengukuhkan demokrasi serta perpaduan di negara ini.

Mereka juga melahirkan rasa kagum dengan pencapaian Malaysia yang membanggakan dalam banyak bidang hasil pelaksanaan polisi yang sesuai dan berkesan.

Kenyataan itu disampaikan Duta Emiriah Arab Bersatu ke Malaysia Nasseer Salman Alaboodi yang mewakili anggota diplomat dan perwakilan asing di negara ini dalam ucapan tahniah mereka, sempena sambutan ulang tahun keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara, di sini hari ini.

"Kami juga ingin menyampaikan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak di atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam, yang telah memperkenalkan konsep 1Malaysia sejurus pelantikannya, yang meliputi lapan nilai iaitu ketabahan, penerimaan, pendidikan, integriti, meritokrasi, rendah diri, kesetiaan, dan budaya kecemerlangan," katanya.

Beliau berkata Malaysia akan terus mencatatkan pencapaian cemerlang dalam usahanya menjadi negara maju di bawah bimbingan Tuanku Mizan dengan disertai usaha bersepadu oleh kerajaan dan rakyat pelbagai bangsa.

"Malaysia, seperti yang diketahui, menikmati kestabilan sosial, keharmonian kaum dan pertumbuhan ekonomi yang mampan, serta terus memainkan peranan yang unik dan penting dalam perhubungan antarabangsa dan serantau.

"Dalam perhubungan antarabangsa dan dasar luar, kami mengalu-alukan komitmen teguh Malaysia menggalakkan keamanan dan kerjasama antara negara-negara di seluruh dunia," katanya.

Alaboodi juga melahirkan penghargaan komuniti diplomat dan perwakilan asing di atas layanan baik Seri Paduka dan sokongan berharga yang diberi kepada mereka oleh kerajaan dan rakyat Malaysia.

"Ia merupakan satu penghormatan dan amat istimewa kepada patik untuk mempersembahkan kepada Tuanku, bagi pihak anggota diplomat dan perwakilan asing, ucapan tahniah dan mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan Tuanku.

"Rakan-rakan sejawatan dan patik juga mendoakan kesejahteraan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah dan kaum kerabat. Kami juga mengambil peluang ini untuk mendoakan kemakmuran, keharmonian dan keamanan untuk rakyat Malaysia," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain