suria

Penjawat Awam Terjebak Dengan Ah Long Kerana Beli Kereta

PUTRAJAYA: Kira-kira dua hingga tiga peratus penjawat awam di sini, dikesan menghadapi masalah kewangan agak serius kerana terjebak meminjam wang dengan ah long, kata Anggota Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ketika mendedahkan perkara itu, beliau berkata keadaan ini menyebabkan gaji bulanan penjawat awam terbabit sering tidak mencukupi.

Katanya mereka yang terlibat terdiri daripada petugas kumpulan sokongan yang didapati sanggup meminjam daripada ah long, antaranya semata-mata bagi membeli kereta.

"Dalam kes terbaru yang diterima Pusat Khidmat Anggota Parlimen, terdapat seorang penjawat awam meminjam dengan ah long sebanyak RM7,800 untuk membeli kereta.

"Selama beberapa tahun ini, dia hanya membayar bunga tetapi pinjaman pokok tidak berganjak," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Juara Rakyat di Perumahan Fasa 3 dan 4, Presint 9 di sini hari ini.

Tengku Adnan, yang juga Setiausaha Agung Umno, bagaimanapun berkata masalah penjawat awam meminjam dengan ah long masih terkawal dan ia hanya melibatkan sebilangan kecil golongan itu.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan supaya tidak membenarkan penjawat awam membuat potongan gaji bagi membayar pinjaman daripada syarikat-syarikat peminjam wang.

"Saya nasihatkan kepada penjawat awam, jangan banyak berhutang. Kalau tiada duit jangan beli (sesuatu barangan) dulu... sabar dan kumpul duit," katanya.

Tengku Adnan turut melahirkan kebimbangan kerana terdapat golongan muda di sini, yang meminjam wang dengan ah long kerana terlibat dengan perjudian haram di luar kawasan Putrajaya.

Beliau turut berterima kasih kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan kerana membenarkan penjawat awam yang mempunyai rumah atau bekerja di luar lingkungan 20 kilometer dari Putrajaya untuk tinggal di kuarters kerajaan di sini.

Terdahulu pada majlis itu, Tengku Adnan menyampaikan sumbangan sebanyak 23 unit kerusi roda kepada penduduk di kalangan orang kelainan upaya (OKU) dan mereka yang uzur. - BERNAMA

Artikel Lain