suria

PM Sempurnakan Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat Utusan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berada di pejabat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di Jalan Lima off Jalan Chan Sow Lin di sini bagi menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Bangunan Ibu Pejabat Utusan Melayu.

Perdana Menteri akan melihat sendiri perancangan membina bangunan ibu pejabat setinggi tujuh tingkat itu, yang bakal menempatkan sebahagian besar petugas Utusan di Lembah Klang, termasuk kakitangan Jabatan Pengarang, serta beberapa anak syarikat.

Dengan kos melebihi RM90 juta, bangunan tersebut dijangka siap menjelang 2013, lapor Utusan Online.

Bangunan serba moden serta bercirikan tradisional itu akan mempunyai dua blok bangunan yang boleh menempatkan ruang pejabat untuk 900 petugas, sebuah auditorium yang boleh memuatkan 400 tempat duduk, 380 ruang letak kereta bertingkat-tingkat, sebuah kafe, beberapa lot premis perniagaan, surau dan sebuah gimnasium.

Bangunan itu juga akan dilengkapi dengan pelbagai infrastruktur dan kelengkapan teknologi maklumat (IT) terkini untuk para petugas.

Apabila bangunan itu siap kelak, ia bakal menjadi satu mercu tanda baru ke arah pemodenan kawasan Chan Sow Lin di Sungai Besi, sekali gus meningkatkan lagi nilai hartanah di kawasan sekelilingnya.

Artikel Berikut

Artikel Lain