suria

Jangan Samakan ‘Pandangan Peribadi’ Rakyat Dengan Titah Sultan

PETALING JAYA: ‘Pandangan peribadi’ rakyat yang mempunyai Raja tidak perlu disamakan dengan titah Sultan dibuat, demikian nasihat Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Aidit Ghazali.

“Hak ibu bapa tidak semua sama dengan hak anak, hak murid tidak semua sama dengan hak guru dan hak rakyat tidak semua sama dengan hak Raja.

“Jika rakyat hendak menyesuaikan hak Raja kepadanya, maka negara boleh jadi porak-peranda di atas liberilisme yang tidak kena pada tempatnya,” katanya.

Kenyataan itu dipetik daripada pandangan peribadi Aidit berkaitan pendapat Ketua Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Zaid baru-baru ini mempertikaikan titah baginda menerusi laman blognya mengenai larangan berpolitik di masjid dan surau di Selangor.

Pertikaian itu mengundang pelbagai bentuk bantahan, tindakan undang-undang dan keresahan yang semakin memuncak di kalangan masyarakat.

“Undang-undang negara Malaysia tidak digubal tanpa memikirkan perkara-perkara ini dan pelaksanaannya juga tidak terpisah daripada pemartabatan adat dan adab serta hak antara pihak-pihak yang wujud dalam sesebuah masyarakat,” jelas Aidit.

Aidit yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Aidit Sdn Bhd mempersoalkan apakah sebab utama berlakunya sesuatu keadaan seperti kes Zaid.

“Setiap natijah ada penyebabnya. Apakah penyebab dalam kes ini sesuatu yang bersabit dengan kejahilan ilmu atau kelonggaran sumber maklumat?

“Atau juga keghairahan bersuara tanpa bimbingan bijaksana atau desakan mana-mana pihak yang ingin memperalatkan sesiapa,” katanya yang tidak berniat untuk menghukum mahupun menafikan kemungkinan wujudnya penyebab-penyebab lain.

Dalam konteks titah-titah Sultan Selangor, Aidit memberitahu adakalanya tegas, akomodatif dan bersifat menasihati, khas untuk urusan Islam dan kesejahteraan umat Islam di Selangor.

Katanya, masyarakat Islam khususnya di Selangor memerlukan hala tuju, pengarahan dan titah Sultan dari semasa ke semasa demi menjaga maslahat dan kepentingan lebih besar daripada kepentingan pihak-pihak tertentu sahaja, yang juga bertepatan dengan semangat Islam.

“Saat di mana jika masjid dan surau pernah terbukti disalahgunakan oleh mana-mana pihak yang akan menggugat kepentingan lebih besar, maka ibarat sediakan payung sebelum hujan, ibarat sesal dahulu pendapatan dan ibarat nila setitik rosak susu sebelanga,” katanya.

“Justeru, adalah bertepatan sekali untuk Sultan Selangor mengambil tindakan yang tepat meskipun tidak popular bagi sebahagian pihak,” tambah Aidit.

Artikel Lain