suria

Ekonomi Orang Melayu Masalah Nasional - Nor Mohamed

BUTTERWORTH: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata masalah ekonomi orang Melayu bukan sahaja berlaku di Pulau Pinang tetapi juga di peringkat nasional.

Beliau berkata disebabkan keadaan di Pulau Pinang sedikit mencabar, masalah itu dilihat lebih meruncing di negeri itu.

"Sehingga timbul satu persepsi seolah keterbelakangan kedudukan ekonomi Melayu adalah fenomena Pulau Pinang, ia sebenarnya adalah fenomena nasional juga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kertas kerja bertajuk 'Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10): Implikasi Pada Melayu dan Bumiputera Pulau Pinang pada Konvensyen Ekonomi Melayu anjuran Umno Pulau Pinang di sini hari ini.

Nor Mohamed berkata masalah utama orang Melayu ialah tahap pendapatan yang rendah berbanding kaum lain.

"Pendapatan yang rendah adalah akibat daripada tahap pembangunan tenaga manusia kita yang lebih rendah, pencapaian tahap pendidikan kita lebih rendah, serta tahap kejayaan keusahawanan kita yang juga lebih rendah," katanya.

Selain itu masalah yang perlu ditangani ialah usaha untuk melahirkan lebih ramai golongan menengah Melayu di Pulau Pinang bagi mengelakkan wujudnya ketidakseimbangan antara Melayu berjaya dan yang tidak berjaya.

Beliau berkata keadaan ketidakseimbangan itu telah menyebabkan wujudnya penstrataan di kalangan orang Melayu di negeri ini ketika ini.

"Kita perlu pastikan ada mobiliti ekonomi dan sosial berlaku bagi membentuk golongan menengah Melayu yang ramai, ke arah mencapai matlamat negara maju," katanya.

Oleh itu, Nor Mohamed berkata usaha berterusan perlu dilakukan dalam membina 'talent base Melayu' yang bertaraf dunia.

"RMK-10 akan meletakkan asas kepada usaha mewujudkan sistem persekolahan berprestasi tinggi, anak-anak akan dibimbing dari awal persekolahan sehingga ke tahap pendidikan yang lebih tinggi," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain