suria

BN Tidak Ketandusan Pemimpin Berkelayakan Calon Hulu Selangor

GENTING HIGHLANDS: Barisan Nasional (BN) tidak ketandusan pemimpin yang boleh diketengahkan sebagai calon dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Pengerusi BN berkata BN tidak berada dalam dilema untuk menentukan calon sama ada daripada Umno atau MIC, tetapi berada dalam dilema kerana terdapat ramai calon yang berkelayakan.

"Kita tidak berada dalam dilema, tetapi dilema kita kerana ramai calon yang layak... calon yang baik yang boleh kita ketengahkan. Kita tidak ketandusan pemimpin-pemimpin yang boleh kita ketengahkan," katanya kepada pemberita selepas menutup Konvensyen Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kebangsaan 2010 di Institut Aminuddin Baki (IAB) di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata apa pun akhirnya parti akan memutuskan yang terbaik sebagai calon yang boleh diterima oleh pengundi.

Ketika ditanya mengenai cadangan daripada Umno yang ingin mencalonkan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib, Muhyiddin berkata: "Saya tidak fikir Mat Taib (Muhammad) setuju."

Beliau berkata keputusan mengenai calon pilihan raya kecil itu akan dibuat oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin BN yang lain.

"Soal calon bukan perkara baru, setiap kali pilihan raya kecil prinsip dan asas yang sama kita gunakan dalam menilai siapa yang kita hendak letakkan sebagai calon," katanya.

Pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor bakal diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, Khamis lepas akibat barah otak. -BERNAMA

Artikel Lain