suria

Wanita Warga China Seludup Kokain 1.8 Kg Ditahan

PULAU PINANG: Polis menahan seorang wanita warganegara China setelah menemui 1.8 kilogram dadah dipercayai heroin bernilai lebih RM250,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) di sini pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata wanita berkenaan ditahan dalam satu pemeriksaan ketika hendak berlepas ke Hong Kong pada pukul 6.35 pagi.

Dia ditahan oleh polis yang bertugas di lapangan terbang berkenaan setelah didapati dalam keadaan mencurigakan ekoran cara berjalan dan keadaan tubuh badannya yang didapati tidak normal.

"Setelah membuat pemeriksaan menyeluruh, polis mendapati sebahagian tubuh badan wanita itu dibaluti dengan plastik yang mengandungi dadah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tun Hisan berkata wanita berusia 40-an itu berpakaian sut supaya kelihatan profesional untuk mengaburi mata polis.

"Berdasarkan siasatan awal, wanita itu didapati pernah memasuki Malaysia lebih daripada lima kali dan setiap kali wanita itu memasuki negara ini, dia akan menetap di hotel selama tiga hingga lima hari," katanya.

Wanita itu kini direman selama seminggu bagi siasatan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Polis turut merampas sebuah komputer riba dan pelbagai mata wang asing bernilai RM4,700. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain