suria

Sepasang Suami Isteri Ditemui Mati

ALOR GAJAH: Seorang wanita ditemui mati dipercayai dibunuh manakala suaminya ditemui mati tergantung di sebuah rumah di Taman Seri Redan, Masjid Tanah dekat sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Mohd Adnan Abdullah berkata wanita berkenaan N.Gayaletchumy, 38, ditemui terbaring mati berlumuran darah dengan beberapa kesan tikaman di badannya dalam bilik tidurnya.

Mayat suaminya, A.Ilangathil, 41, seorang pemandu lori, ditemui tergantung di ruang tamu rumah berkenaan, katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini, hari ini.

Mohd Adnan berkata seorang saudara lelaki kepada mangsa telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Balai Polis Kuala Sungai Baru dekat sini, kira-kira pukul 7.40 pagi.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku antara pukul 10 malam tadi dan 6.30 pagi hari ini dan hanya disedari oleh seorang daripada dua anak mangsa selepas dia bangun dari tidur pagi tadi.

"Hasil siasatan awal, kita percaya ini adalah kes dimana motifnya suami cemburu kepada isterinya dan kemudian berlaku pergaduhan dan kita percaya telah berlaku tikam di sana kemudiannya si suami mengambil keputusan untuk mengantung diri dia," katanya.

Beliau berkata polis menemui dua bilah pisau dan tali di tempat kejadian yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

"Polis sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurut beliau, mayat suami isteri itu dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

Pasangan itu meninggalkan empat orang anak berusia antara 11 dan 16 tahun.

Kejadian itu turut menggemparkan penduduk taman berkenaan sehingga ramai yang datang untuk mengetahui kejadian sebenar.

Anak mangsa, Thanesh, 13, yang ketika kejadian berada di rumah seorang bapa saudaranya di Kampung Jeram dekat sini, berkata kejadian itu amat mengejutkan beliau dan saudaranya.

"Ibu dan bapa saya tidak bergaduh, saya tengok mereka biasa saja," katanya yang kelihatan trauma dengan kejadian tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain