suria

Sukatan Kursus Kejuruteraan Dirombak

KUALA LUMPUR: Sukatan pelajaran kursus kejuruteraan yang ditawarkan oleh 27 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini akan diselaraskan dengan keperluan dan tuntutan pasaran kerja.

Pengerusi Majlis Akreditasi Kejuruteraan (EAC), Datuk Dr Abd Rahim Hashim berkata, pihaknya dan Majlis Jemaah Dekan Kejuruteraan IPTA Malaysia (MCED) bersetuju melaksanakan pembaharuan itu dalam usaha memenuhi permintaan pasaran industri itu di peringkat global.

"Pendekatan ini akan menaiktaraf kualti graduan IPTA agar dapat menandingi standard pelajar kejuruteraan di peringkat antarabangsa," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jemaah Dekan-dekan IPTA di Univesiti Teknologi Malaysia, di sini, hari ini.

Katanya, sukatan baru itu akan memberi pendedahan lebih mendalam tentang bidang yang bakal diceburi oleh pelajar selepas tamat pengajian.

Selain pembaharuan dalam sukatan pelajaran, EAC dan MCED akan meluaskan pengakreditasian program kejuruteraan di IPTA dan IPT swasta agar dapat menaiktaraf kualiti graduan dan membolehkan mereka diterima baik di pasaran kerja.

Oleh itu, Abd Rahim berkata, EAC juga kini dalam perancangan untuk mengadakan 189 program khas untuk pelajar kejuruteraan.

Selain itu katanya, EAC bercadang menghantar pensyarah mengikuti latihan perindustrian untuk tempoh yang lebih lama bagi mebolehkan mereka menimba pengalaman yang secukup untuk dikongsi dengan pelajar.

"Ini akan membantu pensyarah mendapat pengalaman dan memahami bidang pengkhususan masing-masing dalam mengajar praktikal dan bukan hanya berdasarkan teori," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain