suria

Peluru Mortar Ditemui Di Tebing Sungai Kedah

ALOR SETAR: Dua butir peluru mortar lama yang sudah tidak aktif, ditemui di tebing Sungai Kedah berhampiran Persiaran Tanjung Chali, di sini hari ini.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Kota Setar, Deputi Supritendan Mohd Sham Abdullah berkata, peluru itu ditemui oleh seorang pekerja Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) ketika melalui kawasan itu kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.

"Polis menerima panggilan daripada pekerja MBAS lalu bergegas ke tempat kejadian dan mendapati peluru mortar itu tertimbus dalam lumpur di tebing sungai.

"Bagaimanapun ia tidak aktif serta tidak mendatangkan bahaya kepada orang ramai dan dipercayai peluru lama yang dibuang oleh pihak-pihak tertentu," katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Katanya, polis terpaksa menunggu lebih sejam sebelum mengeluarkan kedua-dua peluru berkenaan, kerana Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) telah membuka pintu tali air, menyebabkan paras air sungai meningkat.

"Polis kemudiannya meminta pihak Mada menutup semula pintu tali air dan menunggu sehingga air sungai surut, sebelum berjaya mengeluarkan peluru berkenaan pada pukul 1.15 petang dan dibawa ke unit pemusnah bom untuk dimusnahkan secepat mungkin," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain