suria

Tiga Warga Iran Bawa Dadah Dalam Perut Kecundang Di KLIA

SHAH ALAM: Polis Selangor menyita 266 kapsul disyaki berisi syabu dalam perut tiga lelaki warga Iran yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada pukul 6.00 pagi Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor ACP Nordin Kadir berkata polis menunggu masa empat hari untuk mengeluarkan kapsul-kapsul itu dari perut.

"Ketiga-tiga mereka telah melepasi kaunter pemeriksaan di KLIA selepas tiba dengan penerbangan dari Dubai tetapi mereka ditahan (di kaunter teksi) kerana berada di dalam keadaan yang mencurigakan walaupun tiada dadah ditemui semasa pemeriksaan badan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Kemudian polis membawa mereka ini yang berumur antara 41 hingga 48 tahun ke Hospital Serdang dan ketika dix-ray, polis mengesan bahan-bahan mencurigakan dalam perut mereka, katanya.

"Kita suspek mereka ini kurier. Salah seorang daripada mereka pernah datang ke Kuala Lumpur Disember lepas dan kemudian kembali ke Tehran," kata Nordin.

Polis menemui wang tunai RM1,250, US$785 dan Riyal Iran 81,000 bersama mereka.

Beliau berkata dadah yang dibawa mereka itu seberat sekitar 1.9 kg mempunyai nilai pasaran RM500,000 dan dipercayai untuk dipasarkan ke Malaysia.

Ketiga-tiga mereka kini ditahan reman dari Isnin lepas hingga 1 Februari dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, katanya.

Pada 2009, polis Selangor merekodkan 14,096 kes dadah bernilai RM20.2 juta, dan melibatkan tangkapan seramai 18,097 orang, berbanding 11,907 kes dan penangkapan 15,084 orang pada 2008. - BERNAMA

Artikel Lain