suria

Pelajar Orang Asli Masih Tercicir Dalam Pendidikan

GOMBAK: Tahap pendidikan anak-anak muda Orang Asli yang tinggal di Kampung Batu 12, Gombak, masih lagi di peringkat rendah.

Kebanyakan mereka hanya menghabiskan masa dengan melepak di tepi-tepi lorong jalan ke kawasan perkampungan tersebut.

Semasa tinjauan oleh Mstar Online semalam, didapati anak-anak muda Orang Asli masih ramai yang tidak menamatkan persekolahan mereka baik dari peringkat sekolah menengah ataupun rendah.

Seorang remaja lelaki yang berumur 19 tahun ketika ditemubual memberitahu selepas tamat tingkatan lima pada tahun lepas, dia masih lagi menganggur dan masih tidak membuat keputusan untuk menyambung pelajarannya.

“Saya tidak bekerja, saya juga tidak tahu lagi untuk sambung pelajaran atau tidak,” katanya.

Tiro A/l Razi yang kini hanya menolong ibunya bercucuk tanam di kawasan kebun yang terletak di belakang rumahnya banyak menghabiskan masa lapangnya dengan hanya melepak bersama anak-anak muda di kampung tersebut.

Ketika ditanya mengenai perancangan di masa depannya, anak sulung dari tiga beradik ini mengakui keluarganya menghadapi masalah kewangan menyebabkan dia lebih senang menolong ibunya bercucuk tanam.

“Ibu saya tidak punya wang banyak, saya tolong dia bercucuk tanam di kebun,” katanya. Selain itu, Tiro juga menyuarakan hasratnya untuk bekerja sambilan sebelum membuat keputusan untuk menyambung pelajarannya.

Sementara itu, seorang lagi remaja perempuan yang masih menuntut di tingkatan lima, Serim A/p Tani memberitahu selepas tamat belajar, dia akan mula mencari pekerjaan di luar.

“Tamat sekolah nanti, saya mahu kerja, nak tolong keluarga,” katanya.

Menurutnya dia sudah tidak berminat lagi untuk menyambung pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya sudah tidak minat mahu sambung belajar lagi selepas ini,” ujarnya.

Serim yang juga anak kedua dari lima beradik ini turut memberitahu dia mahu bekerja sebagai tukang sapu selepas tamat persekolahannya.

“Saya mahu kerja sebagai tukang sapu nanti,” katanya.

Manakala seorang remaja lelaki Man A/l Jali, 20, memberitahu dia tidak pernah ke sekolah kerana dibesarkan di pedalaman negeri Pahang.

“Saya tidak pernah sekolah, saya tinggal di Kuala Lipis,” katanya.

Dia yang kini bekerja sebagai tukang sapu di ibu kota tinggal di kampung tersebut bersama neneknya.

Ketika ditanya mengenai masa depannya, dia memberitahu lebih senang dengan cara hidupnya kini tanpa memikirkan soal pendidikan.

Dalam pada itu,Tok Batin Hussien Ngah Yin, ketika ditemubual Mstar Online,memberitahu anak-anak Orang Asli di perkampungan tersebut ramai yang tercicir kerana mereka tidak menamatkan pengajian terutamanya di peringkat sekolah menengah.

“Anak-anak di sini ramai yang tidak habis sekolah menengah, ” katanya semasa ditemui Mstar Online.

Tambahnya lagi, anak-anak Orang Asli yang tidak berjaya menamatkan pengajian mereka di peringkat menengah kebanyakannya berhadapan dengan masalah kewangan.

“Mereka bukan tidak mahu sekolah, tetapi kerana masalah tidak cukup duit membuatkan mereka terpaksa berhenti lebih awal untuk membantu keluarga,” katanya.

Hussien turut mengakui keciciran anak-anak Orang Asli juga kerana persekitaran mereka dengan tempat kediaman yang tidak selesa ini kerana terdapat lima buah keluarga tinggal dalam satu rumah yang sama akibat tidak mempunyai tanah dan rumah.

“Macam mana anak-anak ingin belajar dengan selesa, rumah mereka pun kena berkongsi dengan lima buah keluarga lain,” katanya.

Selain itu, Hussien turut memberitahu golongan ibu bapa hanya menjalankan tanggungjawab mereka dengan hanya menghantar anak-anak ke sekolah tanpa mengambil berat soal pelajaran anak-anak dan kepentingan ilmu untuk masa depan.

“Ibu bapa hanya tahu hantar anak ke sekolah, mereka tidak tahu mengenai pelajaran dan kepentingan ilmu,” katanya.

Ketika ditanya mengenai bantuan yang diberikan oleh pihak yang bertanggungjawab kepada anak-anak masyarakat Orang Asli dari segi pendidikan, dia memberitahu Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) turut memberikan pakaian seragam sekolah dan kasut sekolah, tetapi terhad. Selain itu, JHEOA turut memberikan wang sebanyak RM250.00 untuk tempoh satu tahun.

“Bantuan dari JHEOA memang ada seperti pakaian dan kasut sekolah, tetapi terhad dan duit sebanyak RM250.00 untuk setahun,” katanya.

Walaubagaimana pun, menurut Hussien, terdapat beberapa orang sahaja anak-anak Orang Asli yang berjaya melanjutkan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi dengan pembiayaan sendiri.

“Ada beberapa orang sahaja yang menyambung pelajaran mereka, itu pun dengan duit sendiri,” katanya.

Selain itu,Hussien memberitahu terdapat sesetengah anak-anak Orang Asli yang mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan tetapi tidak mengetahui kepada siapa untuk dirujuk bagi meneruskan pengajian mereka.

“Ada anak-anak yang mendapat keputusan yang baik, tetapi mereka tidak tahu kepada siapa untuk dirujuk bagi meneruskan pengajian mereka, ” katanya.

Hussien turut mengakui kurangnya pendedahan ibu bapa mengenai pentingnya pendidikan menyebabkan anak-anak Orang Asli masih tercicir dalam pengajian mereka.

“Ibu bapa tidak tahu apa-apa mengenai kepentingan pendidikan anak-anak,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

19 GRO Ditahan Dalam Ops Noda

Artikel Lain