suria

Kepala Babi Hutan Dijumpai Di Dua Masjid

KUALA LUMPUR: Empat kepala babi hutan yang dibungkus dalam empat beg plastik beras ditemui di dua masjid di Petaling Jaya selepas solat Subuh awal pagi ini.

Dua bungkusan kepala babi hutan bersama satu baldi plastik berisi 30 keping wang RM1 diletakkan di pintu masuk belakang ke pekarangan Masjid Jumhuriyah, Taman Datuk Haron, manakala dua bungkus lagi serta baldi berisi jumlah wang yang sama dijumpai di hadapan pintu masuk ke pekarangan Masjid Al Imam Al Tirmizi, Taman Sri Sentosa. Jarak kedua-dua masjid adalah kira-kira dua kilometer.

Timbalan Nazir Masjid Jumhuriyah, Rasbollah Zainal berkata, bungkusan itu ditemui oleh jemaah pada 6.30 pagi tadi selepas selepas solat Subuh.

"Mereka menyangka kedua-dua bungkusan itu mengandungi bayi yang mungkin dibuang oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, tetapi apabila siak masjid yang dikenali sebagai Redzuan, 55, membuka kedua-dua bungkusan itu, ia didapati berisi kepala babi hutan," katanya kepada pemberita semasa lawatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan ke masjid itu hari ini.

Rasbollah berkata, orang yang meletakkan bungkusan itu mungkin mengetahui selok belok masjid itu kerana pintu masuk belakangnya terlindung dan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).

"Di hadapan pintu masuk masjid ini ada kamera CCTV tetapi di bekalang tidak ada dan orang yang menghantar ini mungkin membuat kajian terlebih dahulu tentang masjid ini," katanya.

Musa pula berkata, tindakan menghantar kepala babi itu adalah perbuatan tidak bermoral yang bersifat provokasi.

Beliau memberi amaran bahawa polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan perkara tidak bertanggungjawab itu.

"Jangan sekali-kali bermain dengan api dengan menggunakan isu sensitiviti agama sesuatu kaum. Kita minta supaya semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi, dan biarkan polis menjalankan siasatan terperinci mengenai insiden ini," katanya.

Musa berkata, beliau telah mengarahkan anggotanya memantau masjid-masjid di sekitar kawasan tersebut agar insiden yang serupa tidak berulang.

Katanya, keempat-empat kepala babi hutan dihantar ke Jabatan Forensik untuk siasatan lanjut.

Turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Dearah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

19 GRO Ditahan Dalam Ops Noda

Artikel Lain