suria

Polis Rampas 121 Mesin Judi, Tahan 7 Penjaga Premis

KUALA LUMPUR: Lapan buah premis di sekitar Ampang Jaya, termasuk beberapa kafe internet, diserbu polis malam tadi kerana menjalankan kegiatan mesin judi berkomputer.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, dalam Ops Dadu (operasi memerangi perjudian) itu, tujuh orang penjaga premis ditahan dan sebanyak 121 buah mesin judi berkomputer dirampas.

"Kesemua mereka ditahan berumur antara 20 hingga 50 tahun. Ada di antara premis ini berselindung di sebalik perniagaan kafe berinternet untuk mengaburi pihak berkuasa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan reman dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang memperuntukkan denda RM10,000 bagi setiap unit mesin atau dipenjara sehingga lima tahun.

Abdul Jalil berkata, terdapat peningkatan dalam serbuan, tangkapan dan rampasan mesin judi sepanjang dua tahun lepas (2008 dan 2009), dan pihaknya akan meningkatkan serbuan terhadap premis sedemikian tahun ini.

Jumlah serbuan meningkat dari 118 pada tahun 2008 kepada 207 tahun lepas, manakala seramai 90 orang ditahan pada 2008 dan 218 pada 2009.

Polis turut merampas 550 mesin judi pada 2008 dan meningkat kepada 1,576 tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Pertikai Keputusan PKR

Artikel Berikut

Artikel Lain