suria

Guru Pembantu Sukarela Kunci Kejayaan SK Zainab II

KOTA BHARU: Kerjasama erat antara pihak sekolah dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab II, di sini dengan mewujudkan guru pembantu sukarela sebagai kunci utama kejayaan sekolah itu dipilih menjadi antara 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di seluruh negara.

Guru Besar sekolah itu, Aida Mohd Salleh berkata, selain bersyukur beliau menganggap anugerah itu juga sebagai cabaran hebat baginya untuk mengekalkan prestasi agar menjadi sekolah cemerlang dalam segenap aspek pelajaran dan pembelajaran.

"Kerjasama rapat antara tiga pihak itu juga akan menjadi pemangkin kejayaan masa depan sekolah untuk melahirkan bukan sahaja pelajar cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga modal insan yang bersahsiah tinggi," katanya.

SK Zainab II yang mempunyai 577 murid, 49 guru dan enam kakitangan sokongan muncul satu-satunya sekolah rendah di pantai timur yang tersenarai di kalangan 20 SBT yang diumumkan Timbalan Perdana yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Aida berkata, sekolah itu pernah mendapat kejayaan cemerlang dengan memperoleh 100 peratus dalam keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dua tahun berturut-turut pada 2008 dan 2009.

Beliau berkata, sekolah itu juga mendapat kerjasama dengan pihak Universiti Sains Malaysia (USM) dalam melaksanakan program minda bitara di bawah penyeliaan Prof Zalina Ismail yang mempunyai rangkaian projek yang sama di Australia dan Universiti Islam di Gaza, Palestin.

Menurutnya lagi, yang uniknya program guru pembantu sukarela ini melibatkan ibu bapa yang menganggotai PIBG.

"Ia cetusan ilham seorang suri rumah Dr Adibah Alawiah Abdul Razak, semasa beliau berada di Dublin, England sewaktu menjemput anaknya pulang dari sekolah di mana beliau melihat ibu bapa negara itu secara sukarela mengajar murid sekolah di situ sementara menunggu anaknya habis kelas.

"Saya amat bersyukur kerana cetusan idea bernas yang diperoleh dari luar negara itu cuba diamalkan di sekolah ini dengan mendapat sambutan menggalakkan di kalangan ibu bapa," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Pertikai Keputusan PKR

Artikel Berikut

Artikel Lain