suria

Polis Tumpas Dua Kumpulan Samun Di Melaka

MELAKA: Polis telah berjaya menumpaskan dua kumpulan samun yang bergerak aktif di sekitar negeri ini, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah.

Beliau berkata, dua kumpulan samun itu dikenali sebagai Geng Irwan yang sering menyamun mangsa di kawasan bank di daerah Melaka Tengah dan Kuala Lumpur manakala Kumpulan Boy yang mensasarkan hotel di kawasan luar bandar di negeri ini.

"Geng Irwan dianggotai dua lelaki warga Indonesia dan didalangi tiga lelaki warga Malaysia, kesemua mereka berusia 20-an," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Adnan berkata, sebanyak 30 kes dilaporkan melibatkan Geng Irwan dengan jumlah kerugian antara RM200,000 dan RM300,000.

Katanya, dua anggota Geng Irwan ditangkap di Kuala Lumpur manakala tiga lagi ditangkap di Batu Berendam di sini, pada awal bulan ini.

Beliau berkata, kumpulan Boy dianggotai empat lelaki tempatan iaitu dua orang yang berusia 20-an dan dua lagi belasan tahun, kesemua mereka ditahan di daerah Melaka Tengah pada November lepas.

Menurutnya, ada kalangan suspek telah didakwa di mahkamah dan dikenakan hukuman. - BERNAMA

Artikel Sebelum

YWP Bantu 161 Pelajar Miskin

Artikel Lain