suria

Pengawal Keselamatan Maut Dirempuh Kereta Pemandu Mabuk

PULAU PINANG: Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki yang dipercayai mabuk di Jalan Jelutong awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Shaik Faizal Ibrahim, 43, dipercayai dalam perjalanan untuk membeli makanan di sebuah restoran nasi kandar yang berdekatan.

Jurucakap polis berkata pada masa kejadian, mangsa dipercayai menghentikan motosikalnya di tepi jalan selepas keluar dari selekoh dan secara tiba-tiba dirempuh sebuah kereta jenis Honda City, menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian.

Katanya rempuhan yang kuat menyebabkan mangsa terpelanting dan memecahkan cermin depan sebuah bas, lalu tercampak masuk ke dalam bas itu yang berhenti di tepi jalan.

"Berikutan kejadian itu, pemandu bas yang terkena serpihan kaca itu telah di bawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan manakala pemandu kereta itu dikatakan mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke sebuah hospital swasta," katanya.

Katanya polis masih belum mengenalpasti punca sebenar kejadian dan siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan melulu sehingga menyebabkan kematian. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain