suria

SPRM Boleh Siasat Saksi Lepas Waktu Pejabat

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menyoal siasat saksi selepas waktu pejabat bagi tujuan memerangi jenayah rasuah.

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Datuk Hasan Lah yang mengetuai panel yang terdiri daripada Hakim Datuk Ahmad Maarop dan Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad berkata, Seksyen 30(3)(a) Akta SPRM tidak menetapkan sebarang tempoh masa bagi SPRM menyoal siasat saksi.

Dalam mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi, Hakim Hasan berkata, peruntukan di dalam akta SPRM tidak menyatakan bahawa siasatan mesti dijalankan semasa waktu pejabat, antara 8.30 pagi dan 5.30 petang

Katanya, seksyen 30(3)(a) akta itu terbahagi kepada dua bahagian yang mana bahagian pertama membawa maksud tiada tempoh masa bagi merekodkan kenyataan saksi dan bahagian kedua perkataan "hari ke hari" adalah siasatan perlu diteruskan pada sebarang masa bagi hari ke hari sehingga pemeriksaan selesai.

Hakim Hasan membuat keputusan itu selepas mendengar hujah daripada Peguam Kanan Persekutuan, Amarjeet Sing yang mewakili SPRM dan Peguam Karpal Singh yang mewakili Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah yang menyaman suruhanjaya itu dengan mendakwa penahanannya dan sesi soal jawab selama 16 jam baru-baru ini adalah tidak sah.

Hakim Hasan berkata, asas penghakiman bertulis akan dikeluarkan secepat mungkin.

Dalam keputusannya membenarkan rayuan SPRM terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, Hakim Hasan juga mengarahkan Tan untuk membayar kos sebanyak RM10,000 kepada SPRM.

Pada 19 November lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Mohammad Ariff Md Yusof ketika membenarkan permohonan bagi mendapatkan semakan kehakiman, berkata Seksyen 30 (3)(a) Akta SPRM 2009 tidak memberi kuasa kepada suruhanjaya itu untuk menyoal seseorang saksi itu secara "berterusan".

Tan, 39, menyaman Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, Penolong Penguasa SPRM, Mohammad Hassan Zulkifli dan SPRM, dengan mendakwa bahawa penahanan dan soalsiasat selama 16 jam sehari oleh SPRM adalah menyalahi undang-undang dan menyebabkan beliau mengalami kerugian serta kesan buruk.

Dalam reaksi segera, Ketua Bahagian Pendakwaan Undang-Undang SPRM, Datuk Abdul Razak Musa yang hadir di mahkamah ketika ditanya pemberita berkata keputusan hari ini menggalakkan saksi untuk datang ke pejabat SPRM bagi merekodkan kenyataan pada sebarang masa mengikut kesenangan mereka.

"Jika mereka sibuk dengan kerja mereka, mereka boleh datang pada bila-bila masa, SPRM dibuka 24 jam untuk merekodkan kenyataan," katanya.

Sementara itu, Karpal berkata, beliau akan memfailkan permohonan untuk merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan itu.

Katanya, keputusan hari ini mempunyai kesan yang serius kerana ia bermakna SPRM boleh "mengheret orang di tengah malam bagi mendapatkan testimoni mereka".

"Mengikut hak, saksi perlu segar apabila mereka disoal siasat dan orang ramai tidak sepatutnya tertakluk disoalsiasat sehingga lewat malam," katanya sambil menambah bahwa beliau juga memfailkan notis yang memerlukan tindakan segera kepada Mahkamah Persekutuan bagi mendengar permohonan rayuan itu.

Terdahulu, Amarjeet berkata, interpretasi terhadap seksyen 30 (3)(a) oleh Hakim Mahkamah Tinggi mempunyai kecacatan kerana beliau menterjemahkan keseluruhan seksyen itu secara bersambung.

"Ia dikemukakan bahawa seksyen itu terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama ialah mana-mana saksi perlu menghadiri mengikut terma arahan untuk diperiksa. Bahagian kedua ialah saksi perlu terus menghadiri dari hari ke hari seperti yang diarahkan sehingga pemeriksaan itu selesai," katanya.

Amarjeet berkata, seksyen itu bermakna bahawa pemeriksaan terhadap saksi boleh dijalankan pada bila-bila masa hari berkenaan tanpa gangguan pada hari berikutnya.

Katanya, akta itu bertujuan bagi memerangi rasuah secara berkesan dan tugas siasatan adalah elemen penting bagi mencapai maksud itu.

Karpal menjawab bahawa saksi perlu disoal semasa waktu pejabat di mana fikiran mereka masih segar semasa disiasat dan Palimen tidak mungkin berniat "hari ke hari" bermakna berterusan.

"Itu mungkin pendekatan secara literal yang boleh membawa kepada perkara yang tidak masuk akal dan siasatan yang lemah mutunya," katanya.

Karpal berkata, di bawah Perintah 20 Perintah Lokap 1953, mempunyai aplikasi yang ketat berhubung dengan suspek, yang ia tidak boleh mengukur bagaimana saksi boleh disoal selepas waktu pejabat apabila suspek di luar jangkauan soal siasat antara 6.30 petang hingga 6.30 pagi.

"Saksi perlu mendapat kelayakan perlindungan yang lebih daripada suspek Saksi merupakan bukti yang boleh dipercayai yang akhirnya berjaya dalam mensabitkan suspek," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain