suria

3 Politeknik 'Premier' Keluarkan Diploma Lanjutan dan Ijazah Tahun Depan

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi bercadang mentransformasikan tiga buah politeknik sebagai politeknik premier dan pusat kecemerlangan dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan dalam kalangan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha kerajaan memantapkan sektor teknikal dan vokasional negara itu penting bagi menjana pertumbuhan ekonomi berasaskan inovasi.

Katanya, usaha sedemikian juga dapat melahirkan rakyat yang berkemahiran tinggi.

"Daripada 27 politeknik yang sedia ada, kita mulakan dengan tiga buah. Tiga politeknik kita ambil sebagai premier untuk memenuhi hasrat dan harapan tersebut.

"Tiga politeknik tersebut akan diumumkan kelak pada awal tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perhimpunan bulanan kementerian itu dan pelancaran buku bertajuk 'Pembangunan pelajar: Memperkasakan Kokurikulum Institusi Pengajian Tinggi' di sini hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, politeknik merupakan satu institusi penting dalam sektor teknikal dan vokasional hari ini.

Bagaimanapun katanya, institusi tersebut hanya menawarkan diploma.

"Jika seseorang yang masuk sektor teknikal (di politeknik), dia akan berhenti setakat diploma dan tidak mempunyai masa depan yang besar," katanya.

Sehubungan itu, Mohamed Khaled memberitahu, tiga politeknik premier tersebut akan diberi mandat untuk menawarkan diploma lanjutan, ijazah sarjana muda dan sarjana.

"Tiga politeknik tersebut juga akan memberi tumpuan kepada 'niche area' tertentu. Mungkin kita akan benarkan industri jadikan politeknik itu sebagai tempat latihan.

"Ia juga akan mengamalkan kurikulum yang ditetapkan oleh industri terbabit," jelasnya.

Jelas Mohamed Khaled lagi, politeknik-politeknik itu akan seterusnya dijadikan sebagai pusat kecemerlangan yang terlibat dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan.

Mengenai kriteria-kriteria pemilihan politeknik premier tersebut, katanya, antaranya termasuk persediaan dan kemampuan politeknik itu menyediakan program, kursus dan tenaga pensyarah.

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditemui Mati Dibunuh

Artikel Berikut

Artikel Lain