suria

MIC Tunggu Kelulusan Peruntukan Tambahan Bina Sekolah Tamil

KUALA LUMPUR: MIC masih menunggu kelulusan Kementerian Kewangan berhubung permintaan parti itu mendapatkan peruntukan tambahan RM53 juta untuk pembinaan bangunan baru bagi beberapa sekolah Tamil termasuk SJK (Tamil) Sungai Tok Pawang, Bedong, Kedah.

Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu berkata, sekurang-kurangnya RM1.6 juta diperlukan bagi membina bangunan baru untuk SJK (Tamil) Sungai Tok Pawang di atas sebidang tanah yang dilaporkan sudah diperuntukkan bagi sekolah itu.

"Projek ini (SJK Tamil Sungai Tok Pawang) sepatutnya bermula sebelum ini tetapi disebabkan peningkatan harga bahan binaan bagi sekolah-sekolah Tamil, ia terpaksa ditunda bersama-sama dengan beberapa sekolah (Tamil) lain," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Samy Vellu mengulas laporan portal berita online hari ini yang melaporkan walaupun sebidang tanah seluas 2.2hektar yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri Kedah April lepas bagi SJK (Tamil) Sungai Tok Pawang, namun tiada perkembangan berhubung pembinaan bangunan itu.

Beliau berkata, permintaan bagi peruntukan RM53 juta itu adalah bagi menampung peningkatan kos pembinaan daripada peruntukan asal RM130 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan, dibuat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan apabila beliau mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet Khas bagi pembangunan Masyarakat India baru-baru ini.

Menurut beliau, peruntukan tambahan RM53 juta itu "melebihi" RM100 juta yang diluluskan Najib di bawah dua pakej rangsangan ekonomi dan RM30 juta lagi diluluskan semasa tempoh Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri.

"Sebaik peruntukan tambahan itu diluluskan, kerja bagi projek-projek itu boleh bermula selepas proses tender diselesaikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), katanya sambil menambah bahawa semua peruntukan dari Kementerian Kewangan akan disalurkan seperti biasa melalui JKR.

Samy Vellu berkata, MIC telah menyenaraikan banyak sekolah Tamil yang memerlukan bangunan baru dan kerja pembinaan akan bermula secara berperingkat, bergantung kepada adanya dana daripada Kementerian Kewangan.

"Kerajaan telah pun membina banyak sekolah Tamil sejak begitu lama melalui (usaha) MIC dan banyak lagi akan dibangunkan semula," katanya.

Beliau juga berkata, MIC sedang bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran bagi menukar sekolah Tamil yang mendapat separuh bantuan kepada sekolah bantuan penuh.

Terdapat lebih daripada 520 sekolah Tamil di seluruh negara dengan hampir 110,000 pelajar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain