suria

Chin Peng Perlu Ikut Prosedur Seperti Orang Biasa Untuk Bertemu PM - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam berkata bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (CPM) Chin Peng perlu melalui prosedur sebagaimana orang biasa untuk bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Prosedur biasa perlu dilalui sama seperti orang lain, dan dia juga perlu melalui tapisan (sebelum bertemu Najib)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan taklimat berhubung status pelaksanaan inisiatif menangani permohonan tertunggak, daftar lewat kelahiran, permit masuk dan kewarganegaraan di Bangunan Parlimen di sini.

Beliau diminta mengulas hasrat Chin Peng ingin bertemu Perdana Menteri semasa mengadakan lawatan ke Selatan Thailand minggu depan untuk memohon dibenarkan kembali ke Malaysia.

Hishammuddin berkata: "Sama ada kita perlu jumpa atau tidak, dia bukan lagi seorang warga negara Malaysia.

"Perkara ini telah dibawa ke mahkamah sebelum ini, tetapi ia telah ditolak," katanya.

Mengenai taklimat tersebut, Hishammuddin berkata ia bagi membincangkan mengenai kekangan yang dihadapi oleh agensi di bawah kementerian itu dalam menyelesaikan tiga daripada empat Petunjuk Prestasi Utamanya (KPI) iaitu daftar lewat kelahiran, permit masuk dan kewarganegaraan. BERNAMA

Artikel Lain