suria

Nik Aziz Disaran Nilai Kedudukan

KOTA BAHARU: Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat diminta menilai kedudukannya sebagai Menteri Besar Kelantan berikutan kegagalannya menangani isu pelantikan menantunya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Ketua Penerangan Umno Kelantan, Dali Hussin, berkata sudah sampai masanya Nik Aziz melihat sama ada beliau masih layak memimpin kerana sudah ada anggota Pas yang tidak menghormatinya.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri Kijang di sini hari ini, beliau berkata kegagalan Nik Aziz menyelesaikan isu pelantikan menantunya Abdul Arifffahmi Abdul Rahman telah mendorong kepimpinan tertinggi Pas menasihatkan beliau supaya mengarahkan menantunya itu melepaskan jawatan berkenaan.

Dali berkata Umno khuatir jika isu itu berpanjangan ia boleh merugikan rakyat Kelantan.

Nik Aziz hari ini mengakui mengalami tekanan perasaan sejak kebelakangan ini disebabkan timbulnya isu mengenai menantunya itu.

Beliau berkata sejak isu itu dihebahkan menerusi media, jiwanya menjadi terganggu menyebabkan beliau terpaksa menghindari dirinya daripada bertemu dengan wartawan.

Namun, katanya, beliau berasa lega kini setelah isu itu diselesaikan dengan mengarahkan menantunya meletakkan jawatan. BERNAMA

Artikel Lain