suria

Seorang Remaja Mati Lemas Dihanyut Arus Deras

KUALA LUMPUR: Kegembiraan sekumpulan 15 remaja lelaki berkelah dan mandi manda di kawasan Air Terjun Sungai Sendat Hulu Yam Bharu, dekat sini bertukar menjadi tragedi apabila seorang daripada mereka lemas.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Norel Azmi Affandi Yahya berkata ketika kejadian, mangsa Sharipudin Ibrahim, 18, dari Jalan 4/60b, Taman Segambut Damai Gombak, sedang berseronok mandi di air terjun itu tiba-tiba sahaja tenggelam dan dihanyutkan arus deras pada kira-kira 5.25 petang semalam.

"Rakan-rakannya cuba membantu bagaimanapun gagal dan segera mendapatkan bantuan polis dan bomba Kuala Kubu Bharu.

"Setelah tiga jam operasi mencari dan menyelamat dijalankan, bomba menemui mayat mangsa tersangkut pada batu kira-kira 9.20 malam," katanya ketika dihubungi di sini malam semalam.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

Sehubungan itu, Norel Azmi turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati ketika bermain atau mandi di sungai pada musim hujan kerana air cepat naik jika berlaku hujan di hulu atau bukit. BERNAMA

Artikel Lain