suria

Berguru Biarlah Dengan Yang Lebih Pandai...

SEBELUM BERANGKAT ke bumi kangaroo ini, anak saya pernah bertanya, “Papa kenapa kita perlu pindah ke Australia, bukankah di sinikan kita ada semuanya.”

Manakala kawan sekerja pun pernah mengusulkan, “Kau dah ada nama serta kedudukan, ramai orang dah kenal kau, kenapa perlu kau tinggalkan segalanya hanya semata-mata kerana prinsip yang kau dokong?”

Kadang-kadang bila terimbau kembali persoalan-persoalan itu membuatkan saya terkasima dan sering kali tertanya-tanya apakah tindakan yang saya laksanakan ini betul?

Sebenarnya dalam menempuh ranjau kehidupan, kita perlukan kepada sesuatu anjakan paradigma, kita tidak boleh sentiasa berada di ruang keselesaan kita semata-mata. Rutin menjadi pensyarah universiti yang tidak pernah berubah semenjak 12 tahun yang lalu menyebabkan diri terasa begitu jumud dengan suasana sekeliling.

Mengajar subjek yang sama berulang-ulang kali setiap semester, tanpa perubahan isi kandungan, menyebakan minda menjadi tepu. Mungkin bagi sesetengah orang, mereka suka berada dalam keadaan begini, tak perlu memikirkan inovasi, ikut sahaja rentak alunan yang dipalu, hidup pasti selamat.

Tapi sifat begitu bukan lumrah untuk diri ini. Diri ini perlukan cabaran baru, diri ini perlukan perubahan, diri ini perlukan rutin yang lebih mencabar minda.

Maka akhirnya saya membuat keputusan untuk menerima tawaran University of Melbourne untuk berkhidmat sementara di sini, serta menjadi pakar rujuk untuk isu-isu Asia Tenggara.

Maka bermulah episod baru dalam hidup ini. Alhamdulillah setelah lebih empat purnama di sini, kami sudah boleh mengadaptasi karenah kehidupan yang baru. Walaupun pada mulanya agar sukar juga untuk kami sekeluarga menyesuaikan diri tambah-tambah lagi dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, budaya yang pelbagai, slanga Australia yang kekadang terngaga juga mulut untuk cuba memahami maksud yang dilafazkan.

Saya boleh dianggap bertuah kerana diterima mengajar di sini. Universiti yang mempunyai kedudukan jauh lebih baik dari mana-mana universiti tersohor di Asia Tenggara, untuk menjadi lebih tepat, dalam lingkungan 50 terbaik dunia.

University of Melbourne cukup berbangga dan tradisi mereka. Mereka sering kali mengatakan “tradition over popularity, quality over quantity”. Berdasarkan prinsip ini mereka bergerak untuk meyakinkan dunia, mereka adalah pusat ilmiah yang bukan menggariskan keuntungan sebagai tunggak utama.

Pertama kali menjejakkan kaki di universiti ini terasa aneh, kerana ia tidak mempunyai pagar yang menggelilingi setiap pelosok bangunan, apatah lagi untuk berjumpa dengan pengawal keselamatan yang menahan mana-mana pihak dari memasuki premis mereka.

Apabila diusulkan perkara ini kepada pihak pengurusan universiti, jawapannya cukup menarik. Universiti ialah tempat ilmiah, tempat yang menyalurkan jawapan kepada setiap persoalan. Mengapa kita harus menghalang mana-mana pihak dari mendapat jawapan. Ilmu adalah untuk dicari, bukan untuk disimpan serta dikawal.

Terimbau akan universiti-universiti di Malaysia, di mana orang pertama yang kita jumpa ialah pengawal keselamatan yang bertugas sebagai penentu sama ada anda layak atau tidak untuk memasuki premis mereka. Kawalan keselamatan yang cukup ketat sehingga menakutkan orang-ramai dari mendekati mana-mana lembah ilmu.

Akan tetapi adakah itu fungsi sebenar sebuah universiti? Atau kita yang begitu skeptik terhadapnya?

Bukan nak memperlekehkan tapi menambah baik apa yang telah kita ada. Bukan semua boleh diadaptasi dari sini, tapi bak perpatah Melayu, ambil yang jernih buang yang keruh.

Sejauh mana diri ini merantau, diri ini masih anak Malaysia, sayangkan Malaysia lebih dari bumi ini, sentiasa berdoa dan berharap Malaysia boleh keluar dari kepompong ciptaan mereka sendiri.

Hujan emas di negeri orang manakan sama dengan hujan batu di negeri sendiri. Tempat bermain lagi dikenang apatah lagi tempat jatuh. Hidup bangunku di rantau, tapi tidak pernah lupa Malaysia di hatiku.

Episod ini sekadar perkenalan. Siri pengalaman kehidupan di rantau, mempelajari serta menilai kehidupan di luar lingkungan negara sendiri, agar dapat dijadikan teladan mahupun pedoman hidup buat yang sudi.

Kata orang tua-tua, berguru biar dengan orang yang lebih pandai dari kita, kemudian timbang-timbangkanlah, jangan diambil bulat-bulat, mungkin ada sesuatu yang sesuai untuk diadaptasi di negara kita tercinta.

DR AHMAD ZAHARUDDIN SANI, merupakan Honorary Visiting Academician, di University of Melbourne. Beliau telah menghasilkan 11 buah buku serta sering menulis berkaitan isu-isu semasa. Beliau boleh dihubungi melalui email [email protected]

Artikel Sebelum

Tak Boleh Tok Guru...Tak Boleh!

Artikel Berikut

Artikel Lain