suria

Rakyat sedar ketidakmampuan pembangkang - Muhyiddin

KOTA TINGGI: Pelbagai kepincangan yang melanda pakatan parti pembangkang merupakan bukti jelas bahawa mereka tidak mampu mentadbir dengan baik sebagaimana Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya pertikaian dan perselisihan berlarutan di antara partiparti pembangkang mengenai pelbagai isu telah menyedarkan rakyat tentang ketidakmampuan mentadbir negerinegeri yang dimenangi mereka pada pilihanraya umum tahun lepas.

"Rakyat sudah sedar tentang ketidakmampuan mereka (pakatan pembangkang), mereka asyik berselisih (faham) sesama sendiri di dalam banyak hal sehingga menjejaskan taraf hidup rakyat di negeri-negeri yang mereka perintah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Ilham Desa di Kampung Mawai Baru di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, pertikaian dan perselisihan di antara parti pembangkang di negeri yang mereka perintah itu telah menyebabkan projek pembangunan gagal dilaksanakan dengan baik sehingga menjejaskan kehidupan rakyat.

Muhyiddin berkata demikian sebagai mengulas kepincangan berterusan yang berlaku di dalam partiparti pembangkang, dengan kejadian terbaru melibatkan perletakan jawatan naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan bekas timbalan pengerusi PKR Sabah Christina Liew.

Peletakan jawatan Dr Jeffrey dilihat sebagai tamparan hebat terhadap usaha PKR untuk memperkukuh kedudukannya di Sabah. Dipercayai majoriti ketua bahagian termasuk Dr Jeffrey sendiri, kecewa dengan keputusan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik Ahmad Thamrin Jaini sebagai ketua parti yang baru di Sabah.

Ahmad Thamrin, anak kelahiran Sabah dinamakan sebagai ketua PKR negeri yang baru pada hujung minggu lalu selepas ketuaketua bahagian menyatakan tidak yakin dengan naib presiden PKR Azmin Ali menerajui PKR negeri.

Peletakan jawatan Liew sebagai anggota majlis tertinggi juga dilihat sebagai satu lagi kendalaan buat PKR.

Muhyiddin turut membidas cubaan pembangkang untuk memburukburukan gagasan 1Malaysia berikutan daripada insiden kemalangan yang menimpa pelajar yang mengikuti perkhemahan 1Malaysia di Kuala Dipang, Kampar, Perak dua hari lepas yang menyebabkan dua pelajar mati lemas dan seorang lagi masih hilang.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pembangkang cuba memberikan gambaran yang salah terhadap gagasan 1Malaysia. "Pembangkang sentiasa berbuat macam itu, untuk menimbulkan kesangsian supaya orang tidak percaya kepada kita (Barisan Nasional), tetapi kita buat apa yang kita fikirkan terbaik. Selama ini pun, usaha kita telah pun terbukti," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melakukan pelbagai inisiatif yang berfaedah kepada negara, katanya.

Ditanya mengenai bantahan oleh Majlis Peguam terhadap keputusan kerajaan untuk menutup siasatan kes "klip video Lingam", Muhyiddin berkata, mereka boleh menyatakan bantahannya tetapi Jabatan Peguam Negara mempunyai asas yang kukuh untuk berbuat demikian.

"Keputusan telah dibuat dan kita pegang kepada keputusan yang dicapai. Penyiasatan telah dilakukan. Saya telah membaca kenyataan Jabatan Peguam Negara dan kita berpegang kepada keputusan yang telah dibuat," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain