suria

Polis tumpas kumpulan samun, tahan lima lelaki

KULAIJAYA: Polis berjaya menumpaskan satu kumpulan samun ragut di sekitar bandar ini dengan penahanan lima lelaki dalam satu operasi khas, empat hari lepas.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya Supt Zulkefly Yahya berkata siasatan awal mendapati seorang daripada lelaki itu dipercayai terlibat dalam 30 kejadian samun ragut di sekitar bandar ini manakala empat lagi dipercayai menjadi pembeli barangan hasil samun ragut itu.

"Dalam operasi pada pukul 9.30 pagi, Khamis lepas, polis merampas lima buah telefon bimbit, sebilah pisau, peralatan memecah kereta, beberapa kad pengenalan, kad kredit, sebuah motosikal, seutas rantai dan seketul emas yang telah dileburkan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulaijaya, di sini, hari ini.

Zulkefly berkata kelima-lima lelaki yang berumur antara 30 hingga 55 tahun merupakan penganggur dan didapati positif dadah semasa ditahan.

Dalam perkembangan lain, Zulkefly berkata polis juga berjaya menumpaskan kumpulan "Mamiey" yang dipercayai terlibat dalam 11 kes curi motosikal di sekitar bandar ini, Kluang dan Johor Baharu dengan penahanan lima remaja lelaki, 19 Okt lepas.

Katanya remaja berusia 17 hingga 20 tahun itu ditahan secara berasingan di Felda Bukit Batu, di sini.

"Polis menemui lapan buah motosikal, dua rangka motosikal dan pelbagai komponen motosikal yang telah dileraikan yang dipercayai akan dijual dengan harga serendah RM200," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain