suria

Ibu mati, anak buta disimbah asid

PULAU PINANG: Seorang suri rumah meninggal dunia manakala anak perempuannya cedera parah dan buta selepas disimbah dengan asid oleh suaminya di rumah mereka di Jelutong di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa, Cheong Swee Lin, 50, dan anak perempuannya Tan Hooi Ling, 17, sedang tidur bersama di salah sebuah bilik di rumah itu.

"Suami mangsa berusia 52 tahun itu dipercayai masuk ke bilik berkenaan dan menyimbah asid ke arah isterinya dan turut terkena anaknya yang tidur di atas katil yang sama," katanya kepada pemberita selepas melawat Tan di wad Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini semalam.

Katanya Cheong dan anak perempuannya yang mengalami kecederaan parah di hantar ke HPP oleh jiran mereka.

"Cheong yang melecur di seluruh badan gagal diselamatkan dan dilaporkan meninggal dunia kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini di hospital. Mayat mangsa dihantar ke bilik mayat untuk dibedah siasat.

"Anaknya yang buta dan melecur sebanyak 20 peratus di bahagian badan serta muka akibat disimbah asid masih menerima rawatan," katanya.

Ayub berkata suami mangsa yang bekerja sebagai kakitangan pihak berkuasa tempatan ditahan sejurus selepas kejadian.

"Lelaki berkenaan bertindak menyerah diri di Balai Polis Jelutong selepas kejadian itu," katanya.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu berlaku ekoran masalah rumah tangga.

Katanya suami mangsa direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. BERNAMA

Artikel Lain