Khir saman Teng berhubung larangan hadiri mesyuarat DUN - Semasa | mStar

Khir saman Teng berhubung larangan hadiri mesyuarat DUN

SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo telah memfailkan saman terhadap Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) Selangor, Teng Chang Khim berhubung keputusan menggantung beliau daripada menghadiri persidangan DUN selama setahun.

Dr Mohamad Khir, yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Panjang dan ketua pembangkang di DUN Selangor, memfailkan saman pemula melalui peguamnya, M.M.Athimulan di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin lepas.

Selain Teng yang juga pengerusi Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Negeri Selangor dan Speaker DUN, beliau turut menamakan Setiausaha DUN Selangor dan kerajaan Selangor sebagai defendan.

Athimulan memberitahu pemberita di sini hari ini bahawa saman itu adalah bagi memohon satu deklarasi bahawa keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan itu pada 19 Mei lepas menggantung Dr Mohamad Khir daripada menghadiri persidangan DUN dan menarik balik kemudahan elaun beliau sebagai anggota dewan selama setahun, adalah tidak sah dan terbatal.

Dr Mohamad Khir juga menuntut satu deklarasi bahawa keputusan DUN pada 15 Julai lepas menggantung beliau daripada menghadiri sidang DUN selama setahun juga tidak sah dan terbatal. Athimulan berkata bekas menteri besar itu turut menuntut deklarasi bahawa keputusan kerajaan negeri mewujudkan Enakmen Penghinaan Dewan 2009 sebagai tidak sah dan terbatal kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan.

"Dr Mohamad Khir turut menuntut deklarasi bahawa pembabitan Teng selaku pengerusi SELCAT dan juga pengerusi Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan berhubung keputusan penggantungan beliau sebagai tidak sah dan terbatal kerana ia melibatkan pertembungan kepentingan kerana Teng bertindak sebagai pendakwa dan beliau juga yang membuat keputusan bagi pihak jawatankuasa itu," katanya.

Athimulan berkata Dr Mohamad Khir menuntut ganti rugi berhubung elaun yang ditarik balik sepanjang penggantungannya, emolumen dan relif lain yang difikirkan sesuai dan wajar oleh mahkamah selain hak beliau untuk kembali menghadiri persidangan DUN akan datang tanpa halangan daripada manamana pihak terutama Speaker DUN.

Pada 15 Julai lepas, Timbalan Speaker, Haniza Mohd Talha mengumumkan penggantungan Dr Mohamad Khir selama setahun dan penarikan balik semua keistimewaannya sebagai wakil rakyat sepanjang tempoh penggantungan itu kerana gagal hadir sidang siasatan awam SELCAT pada Mac lepas berhubung penggunaan wang penajaan oleh Badan Amal dan Kebajikan Isteriisteri Selangor (BALKIS) dan didakwa mengeluarkan kenyataan menghina jawatankuasa itu dalam media.

Dr Mohamad Khir yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata beliau berharap mahkamah dapat membuat keputusan dengan cepat supaya beliau dapat menghadiri persidangan dewan bulan depan untuk pembentangan bajet. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

Artikel Lain