suria

Polis perhebat gerakan buru dua lagi suspek samun bank

KUALA LUMPUR: Gerakan besar-besaran memburu baki dua daripada empat suspek yang dipercayai terlibat dalam tiga kes samun sebuah bank baru-baru ini sedang giat dijalankan di seluruh negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Mohammad Sabtu Osman berkata polis percaya kedua-dua suspek itu masih lagi berada di dalam negara ini selepas melarikan diri dalam satu kejadian berbalas tembakan yang turut mengorbankan dua lagi rakan penjenayah mereka petang semalam.

"Ada kemungkinan besar kita akan berjaya menangkap mereka sebab identiti mereka sudah dikenal pasti," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut identiti dan maklumat lanjut mengenai kedua-dua suspek itu.

Katanya polis percaya penangkapan keduadua suspek itu mampu menyelesaikan kes rompakan bank di Puchong Prima pada 24 Ogos lepas, di Seri Kembangan pada 15 Sept dan di Taman Segar Cheras yang membabitkan wang tunai RM180,000 pada 18 Sept.

Dalam dua kejadian berasingan semalam, dua lelaki yang disyaki terlibat dalam tiga siri rompakan bank di sekitar Lembah Klang sejak dua bulan lepas ditembak mati.

Lelaki pertama yang berusia 33 tahun ditembak mati di Persiaran Equine Perdana Seri Kembangan berhampiran pusat membelibelah Jusco kirakira pukul 2.15 petang, manakala kejadian kedua membabitkan lelaki berusia 41 tahun di persimpangan Gohtong Jaya, Genting Highlands kira-kira pukul 3.30 petang.

Dalam kejadian pertama, sepasukan polis mengekori kereta Honda Accord yang dipandu suspek pertama dan mengarahnya supaya berhenti.

Bagaimanapun, lelaki itu memecut keretanya dan apabila tiba di persimpangan lampu isyarat Equine Perdana, polis berjaya memintas dan mengarahkan suspek supaya menyerah diri.

Namun suspek enggan dan keluar dari keretanya lalu melepaskan beberapa das tembakan menyebabkan polis terpaksa membalasnya dan menembak mati lelaki itu. Polis menemui sepucuk pistol .38mm di sisi mayat lelaki itu.

Sementara itu suspek kedua pula ditembak mati di Gohtong Jaya oleh sepasukan anggota polis setelah mengekori lelaki itu. Hasil pemeriksaan, polis menemui sepucuk pistol separuh automatik Smith & Wesson bersama peluru. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain