suria

Pengisian Bandar Tentera Darat agenda utama Isa Samad

PORT DICKSON: Agenda pengisian Port Dickson sebagai Bandar Tentera Darat akan menjadi antara agenda utama calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, Tan Sri Isa Samad.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun itu berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Kementerian Pertahanan dan Kerajaan Negeri yang diperintah BN.

"Ia menjadi agenda utama sebab Perdana Menteri yang umum," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program KEMAS di Teluk Kemang di sini pada Ahad.

Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mengumumkan pengisytiharan Port Dickson sebagai Bandar Tentera Darat bagi mengiktiraf jasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya Tentera Darat yang banyak melahirkan rekrut baru di bandar itu.

Isa berkata beliau percaya anggota tentera yang mengundi di Bagan Pinang tidak akan melupakan jasa kerajaan yang selama ini mengutamakan kebajikan anggota tentera dan anggota keluarga mereka.

Pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang yang terletak di bawah Parlimen Teluk Kemang itu, Isa yang juga Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang ditentang Pesuruhjaya PAS Negeri Zulkefly Mohamad Omar.

Isa berkata sebagai calon BN, parti memerintah kerajaan negeri dan pusat, beliau mempunyai kelebihan untuk menyuarakan pandangan rakyat di Bagan Pinang yang akan mengundi pada 11 Okt ini.

Ditanya mengenai kenyataan Naib Presiden PAS yang juga Pengarah jentera PRK Bagan Pinang, Salahuddin Ayub, pagi ini, yang parti itu akan terus membongkar "kelemahan" Isa semasa beliau menjadi Menteri Besar, Isa berkata pemimpin PAS itu perlu mencerminkan keadaan negeri yang diperintah PAS seperti Kelantan.

"Hanya orang tak sihat kata Kelantan lebih maju dari Negeri Sembilan," katanya mengulas mengenai projek Jalan Utama Pasir Panjang ke Linggi yang didakwa tertangguh ketika calon BN itu menjadi ADUN Linggi.

Isa turut mempersoalkan apakah "jasa" yang dilakukan Anggota Parlimen Teluk Kemang dari PKR Datuk Kamarul Baharin Abbas yang sejak menang di kawasan itu pada 8 Mac 2008.

Katanya beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan pengundi untuk menilai mengenai perkara itu dan tidak mahu menggunakan pendekatan menyerang calon lawan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain