suria

Abdul Azeez dakwa diserang penyokong PAS

PORT DICKSON: Suasana hari penamaan calon bgai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang tercalar apabila Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim diserang sekumpulan lelaki yang dipercayai penyokong PAS.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9 pagi itu, Abdul Azeez bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sedang berjalan menuju ke pusat penamaan calon di dewan Majlis Perbandaran Port Dickson.

Menurut Abdul Azeez beliau diserang oleh kira-kira sembilan orang lelaki yang memakai pakaian yang mempunyai logo PAS.

"Saya nampak jelas mereka berpakaian berlogokan PAS ketika menyerang saya.

"Ketika itu, mereka juga megejek saya dengan mengatakan saya kaki rasuah dan mengibaskan beberapa keping duit kertas ke muka saya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Jelas Abdul Azeez lagi, beliau bernasib baik kerana pihak polis yang menyedari kejadian berkenaan bertindak pantas mengawal kekecohan tersebut.

"Mujur polis segera menghalang saya daripada terus dipukul, kalau tidak tak tahulah apa yang akan terjadi ke atas saya.

"Lepas ini saya akan pergi mendapatkan rawatan kerana saya rasakan urat-urat di bahagian leher saya ini bengkak dan sakit," katanya sambil menunjukkan kesan pukulan yang terdapat di lehernya.

Sementara itu, Ismail Sabri yang turut berada di tempat kejadian berkata ketika menghampiri sekumpulan lelaki yang sedang berkumpul, mereka secara tiba-tiba diserang.

Bagaimanapun beliau sempat dilindungi pegawai pengiringnya.

“Pegawai saya sempat memeluk saya bagi menyelamatkan diri dan mereka terus memukul Azeez yang berada disebelah saya.

“Kekecohan berkenaan segera dileraikan apabila polis yang sedang mengawal perhimpunan tersedar kejadian itu,” katanya.

Jelasnya, perbuatan berkenaan disedari oleh Pemuda Barisan Nasional (BN) yang cuba melakukan tindak balas terhadap kumpulan berkenaan.

“Namun saya sempat menghalang mereka dan menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa menyelesaikannya.

“Mengambil tindak balas bukanlah budaya Umno dan BN, sebaliknya ia adalah budaya pembangkang,” katanya yang diserang dua kali semasa pilihanraya kecil.

Berikutan kejadian berkenaan satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson.

Artikel Lain