suria

"Apa lagi saya nak cakap? Saya hanya mampu tersenyum..."

PETALING JAYA: Calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Mohd Isa Samad hanya mampu tersenyum apabila mengetahui pemilihannya sebagai calon diterima baik oleh semua pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya dengan sokongan yang diberikan oleh pelbagai pihak di setiap peringkat akan memberikan lebih semangatnya untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

"Apa lagi saya nak cakap? Saya hanya mampu tersenyum... dengan komen beliau sebelum ini pun saya senyum, komen terbaru beliau juga saya hanya akan tersenyum," katanya kepada mStar Online.

Beliau berkata demikian bagi mengulas reaksi terbaru Dr Mahathir mengenai pemilihan Mohd Isa yang sebagai calon BN di DUN Bagan Pinang.

Media melaporkan Dr Mahathir menerima pemilihan Mohd Isa kerana menganggap itu adalah pilihan parti dan menurutnya pandangan atau perasaan peribadinya tidak boleh lagi diambil kira kerana parti telah membuat keputusan secara sepakat.

Malah bekas Presiden Umno itu menaruh keyakinan yang tinggi untuk BN menang besar dalam pilihan raya yang akan diadakan pada 11 Oktober depan.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong selepas penyandangnya Azman Mohammad Nor yang mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Mac 2008 meninggal dunia akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban (SSH), awal bulan lalu.

Allahyarham yang bertanding pertama kali, memenangi kerusi berkenaan dengan memperolehi 6,430 undi, menewaskan calon Pas, Ramli Ismail. Beliau menang dengan majoriti 2,333 undi.

Bagan Pinang terletak dalam Parlimen Telok Kemang yang mempunyai lima kerusi DUN dengan tiga daripadanya milik pembangkang iaitu Chuah dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lukut (DAP) dan Port Dickson (PKR). Satu lagi kerusi iaitu DUN Linggi dimenangi BN.

Mohd Isa adalah Ketua Umno Bahagian Telok Kemang.

Tambah Mohd Isa, setakat ini jentera parti di semua peringkat sedang berusaha untuk meraih undi dan menemui seramai mungkin pengundi di DUN Bagan Pinang.

"Kini semua jentera parti sedang berusaha dengan gigih, kita akan pastikan BN menang dalam pilihan raya ini," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain