suria

Banglo milik seorang Majistret dipecah masuk

KUALA LUMPUR: Banglo milik seorang Majistret Mahkamah Selayang di Kampung Sungai Tua dekat sini dipecah masuk awal pagi semalam, dipercayai dilakukan oleh sekumpulan penjenayah yang melarikan komputer riba dan televisyen hingga mengakibatkan kerugian dianggarkan hampir RM10,000.

Insiden di kediaman milik Majistret Muhammad Najib Ismail itu dipercayai berlaku kira-kira 5 pagi tadi dan ketika kejadian itu, majistret itu dan keluarganya tidak berada di rumah berkenaan kerana bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri.

Kejadian malang itu disedari oleh kakak ipar majistret itu ketika beliau datang untuk menjenguk kediaman itu pagi ini dan mendapati bilik-bilik berselerak dan terdapat barang yang hilang dan kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah yang dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan polis berhubung insiden itu.

Siasatan awal polis mendapati suspek memotong jeriji besi tingkap untuk memasuki premis itu dan melarikan tiga komputer riba dan sebuah televisyen plasma 49 inci, katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

"Kita sedang meneruskan siasatan untuk mengenal pasti suspek," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain