suria

Peragut cedera parah terjun bangunan kerana lari daripada polis

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang dipercayai baru menyamun seorang wanita cedera parah di kepala dan patah tangan serta tulang pahanya sewaktu cuba melarikan diri dengan terjun dari tingkat lima rumahnya dalam satu serbuan di Flat Seri Jati, Jalan Puchong dekat sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata suspek sebelum itu bersama-sama seorang rakannya pada pukul 5.30 pagi telah menyamun seorang wanita dengan menaiki motosikal berhampiran kawasan rumahnya.

"Mereka kemudian pulang ke rumah yang terletak berhampiran kawasan kejadian tanpa menyedari mangsa ragut itu telah mengikuti mereka dari belakang sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan maklumat mangsa, polis menyerbu rumah suspek dua jam selepas itu namun suspek enggan memberikan kerjasama apabila tidak membuka pintu walaupun telah diketuk beberapa kali.

Tiba-tiba suasana bising kedengaran dari dalam rumah itu dan setelah diperiksa dari bahagian belakang bangunan berkenaan, seorang lelaki (suspek berkenaan) ditemui terbaring dan berlumuran darah dipercayai terjun atau terjatuh dari rumahnya, katanya.

Wan Abdul Bari berkata suspek kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut dan sehingga berita ini ditulis suspek masih lagi tidak sedarkan diri akibat mengalami kecederaan parah di kepala, patah tangan dan tulang paha.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati suspek yang berusia 26 tahun mempunyai rekod lampau kerana pernah menyamun di Klang empat tahun lepas.

Katanya polis kemudian menyerbu ke rumah suspek dan berjaya menahan dua orang lelaki dan seorang wanita yang kesemuanya berumur lingkungan 25 hingga 28 tahun.

"Kami turut menjumpai empat telefon bimbit di mana salah satunya milik pengadu (mangsa ragut)."

"Kesemua suspek sedang ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan," katanya.

Dalam kejadian berasingan, mayat seorang remaja ditemui dalam keadaan mengerikan dengan kedua-dua pergelangan tangannya hampir putus dalam satu kejadian yang ada kaitan dengan kumpulan samseng di Jalan Klang Lama di sini pagi semalam. Wan Abdul Bari berkata dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa S. Selvam, 19, dipercayai menunggang motosikal sebelum terbabas di hadapan sebuah kedai dan cuba lari menyelamatkan diri kerana dikejar sekumpulan lelaki yang cuba memukulnya.

"Mangsa dipercayai cuba melarikan diri sejauh lebih 100 meter dari tempat dia dipercayai terbabas berikutan penemuan motosikal mangsa. Polis tidak menolak kemungkinan berlaku pergelutan di sekitar kawasan mayat ditemui sebelum mangsa maut ditetak menggunakan senjata tajam," katanya.

Beliau berkata mangsa maut akibat kecederaan teruk di belakang badan selain kedua belah tangannya hampir putus dan mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.

Wan Abdul Bari berkata polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di sekitar kawasan kejadian bagi membantu siasatan dan polis percaya tiada sebarang unsur samun kerana dompet dan kad pengenalan mangsa ditemui bersama-sama mangsa.

"Polis meminta bantuan orang awam yang menyaksikan kejadian agar tampil menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. Tiada sebarang senjata ditemui di sekitar kawasan kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain