suria

Lelaki Indonesia mati dibunuh di Bukit Raja

KLANG: Seorang buruh binaan rakyat Indonesia ditemui mati dipercayai dibunuh dalam longkang berhampiran rumah kongsinya di sebuah tapak pembinaan di Bukit Raja di sini semalam.

Lelaki itu, yang hanya dikenali sebagai Zaki berumur dalam lingkungan 20-an ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah dengan kecederaan pada muka, kaki dan belakang badan pada kira-kira pukul 1 petang.

Ketua Polis Daerah Klang ACP Mohamad Mat Yusop berkata mayat lelaki itu ditemui pekerja di tapak pembinaan berkenaan.

Beliau berkata lelaki itu dipercayai terbabit dalam pergaduhan dengan beberapa lelaki lain yang dikenalinya, dikatakan berpunca daripada salah faham mengenai hubungannya dengan seorang wanita yang dicemburui suspek.

"Siasatan awal polis mendapati lelaki itu ditetak dengan senjata tumpul sehingga mengakibatkan kematiannya," katanya di sini.

Mohamad berkata polis menemui sejenis alat penggali yang mempunyai kesan darah di lokasi kejadian. Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran atau Rakan Cop di 0321159999 bagi membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain