suria

Manek Urai: 87% mengundi, lepasi sasaran SPR

KUALA KRAI: Lebih 87 peratus pemilih telah keluar mengundi pada pilihan raya kecil DUN Manek Urai, Kelantan hari ini.

Sehingga semua pusat pengundian ditutup pukul 5 petang tadi, 87.3 peratus atau 10,736 orang telah menunaikan tanggungjawab mereka.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, peratusan itu melepasi sasaran SPR iaitu 85 peratus keluar mengundi.

"Kita gembira kerana jumlah yang keluar mengundi amat baik dan melepasi jumlah yang disasarkan. Peratusan ini adalah antara yang tertinggi dalam pilihan raya kecil di negara ini," katanya beliau kepada Bernama.

Penjumlahan undi akan dibuat di Dewan Petra, SMK Sultan Yahya Petra 1, dekat sini dan keputusannya dijangka dapat diketahui seawal pukul 8 malam ini.

Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Ismail Yaacob, daripada PAS yang meninggal dunia pada 22 Mei lalu akibat serangan jantung.

Ia menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Tuan Aziz Tuan Mat, 39 dan Mohd Fauzi Abdullah, 50 yang mewakili PAS.

BERITA TERDAHULU

Manek Urai: Lebih 50 peratus sudah mengundi

KUALA KRAI: Hampir 57 peratus sudah keluar mengundi setakat 11.30 pagi tadi.

BERITA TERDAHULU

KUALA KRAI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan peratusan keluar mengundi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai setakat pukul 11 pagi ini sudah mencecah 40 peratus.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, proses pengundian di kesemua pusat mengundi berjalan lancar.

"Setakat ini, proses pengundian berjalan lancar, cuma ada perang mulut antara penyokong-penyokong parti yang bertanding... tapi itu perkara biasa.

"Pihak polis juga dapat mengawal keadaan," katanya kepada mStar Online.

Beliau berharap orang ramai akan keluar mengundi awal bagi mengelakkan kesesakan.

"Kita harap pengundi akan ikut arahan SPR dan polis," katanya.

SPR menjangkakan 85 peratus akan keluar mengundi pada pilihan raya kecil ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain