suria

Pengundi digesa pilih pemimpin mampu majukan Manek Urai - Muhyiddin

KUALA KRAI: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pengundi di Manik Urai perlu bijak menentukan bakal pemimpin mereka, terutama yang berilmu, agar kawasan mereka dapat dimajukan.

Timbalan Perdana Menteri berkata hanya dengan ilmu seseorang yang menjadi pemimpin itu dapat memaju dan memakmurkan kawasan dan rakyat yang dipimpinnya.

"Nak pimpin masyarakat kena cari orang yang berilmu, kalau saya sendiri tidak berilmu, saya tidak mungkin menjadi Timbalan Perdana Menteri.

"Malah, Allah juga pernah berfirman di dalam AlQuran yang antara lain bermaksud:"Katakanlah oleh Mu ya Muhammad, adakah sama orangorang yang berilmu dengan orang-orang yang tidak berilmu," katanya ketika berucap semasa melawat kawasan Peti Undi Peria petang semalam.

Dalam hubungan itu, Muhyiddin menjelaskan beliau sesekali tidak bermaksud untuk memperkecilkan golongan penjual ikan ketika berucap membandingkan pekerjaan calon PAS dan calon Barisan Nasional baru-baru ini.

Oleh itu, katanya, rakyat perlu bijak untuk menentukan siapa yang akan bakal menjadi pemimpin dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai pada 14 Julai nanti kerana jika tidak mereka akan terus hidup dalam kesusahan.

Malah, katanya, golongan petani, nelayan, pesawah mahupun penjual ikan juga mempunyai peranan dalam memajukan negara.

BN menampilkan bekas pengurus Kesedar, Tuan Aziz Tuan Mat, 39, sebagai calonnya manakala calon Pas ialah Mohd Fauzi Abdullah, 50, seorang pemborong ikan.

"Apa yang kerajaan PAS telah buat selama memerintah Kelantan... setiap kali turun negeri ini saya rasa sedih tengok kehidupan rakyatnya.

"Hampir 20 tahun dia (Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) mentadbir Kelantan bandingkan dengan saya yang 10 tahun menjadi Menteri Besar Johor, tengok kemajuan Johor sekarang jauh beza dengan Kelantan yang mempunyai kadar bilangan rakyat miskin tertinggi di negara ini," katanya.

Katanya, jika rakyat di Manik Urai memberi peluang kepada BN memenangi pilihan raya kecil nanti, beliau akan memastikan rakyat di kawasan itu memperoleh pembangunan dan bantuan.

Sementara itu, mengulas mengenai isu royalti minyak yang diputar belitkan oleh pembangkang, Muhyiddin berkata, jemaah menteri hari ini telah memutuskan untuk menyerahkan kepada Petronas untuk menerangkan tentang perkara itu.

"Untuk lebih kredibiliti, kabinet membuat keputusan biar Petronas menjelaskan kedudukan sebenarnya dari sudut Perlembagaan dan undangundang supaya tidak ada rakyat Kelantan terpengaruh dengan kenyataan pihak pemimpin Pas ataupun Pakatan Rakyat yang mengatakan kita sudah menipu rakyat Kelantan.

Katanya, penjelasan itu dijangka akan dilakukan dalam tempoh dua tiga hari lagi.

Menyentuh harapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mahukan kempen pilihan raya kecil kali ini dijalankan dalam keadaan aman dan mesra, Muhyiddin berkata ia merupakan satu nasihat yang baik dan perlu diambil kira oleh semua pihak yang bertanding.

"Kita nak semua pihak akan bekerjasama dengan pihak keselamatan dan jangan ada satu taktik kempen yang boleh menyebabkan rakyat rasa terganggu dan tergugat," katanya.

Katanya, soal keselamatan sepanjang kempen pilihan raya ini amat penting bagi memastikan rakyat berfikir secara rasional dan membuat keputusan yang tepat apabila tiba hari mengundi nanti. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain