suria

Kabinet tidak boleh terburu-buru, kata Dr Ma'amor

PETALING JAYA: Tindakan Kabinet untuk meminda undang-undang berkaitan penukaran agama dan Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) dianggap sebagai terlalu pantas sedangkan banyak lagi perkara yang perlu diperhalusi.

Tiga rang undang-undang yang hendak dibentangkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz itu membabitkan pindaan Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976, Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 dan Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dato' Dr. Ma'amor Osman berkata beliau bersetuju dengan keputusan Majlis Raja-raja yang mahu pindaan undang-undang itu dibincangkan oleh Majlis Agama Islam Negeri terlebih dahulu.

"Isu ini berkenaan dengan agama Islam... oleh itu bagi saya keputusan tersebut adalah tepat kerana pindaan undang-undang yang berkaitan dengan Islam perlu mendapat perkenan Majlis Raja-raja,"

"Kabinet tidak boleh bertindak terburu-buru dalam membentangkan rang undang-undang yang menyentuh tentang kepentingan Islam," katanya kepada mstar online hari ini.

Beliau berkata sebarang undang-undang yang hendak dipinda tidak boleh bertentangan dengan Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Undang-undang yang dipinda mesti bertepatan dengan hukum syarak...sebab itu ia mesti dibincangkan secara teliti terlebih dahulu,"

Ketika ditanya mengenai masalah dalam undang-undang yang sedia ada, beliau menjelaskan ini berlaku disebabkan pertukaran agama tidak diisytiharkan.

"Ada yang tidak mengisytiharkan apabila mereka telah menukar agama dan hal ini menyebabkan berlaku kekeliruan,"

"Contohnya sebagai seorang Islam kita wajib uruskan jenazah itu dengan cara Islam sekiranya kita tahu tahu jenazah itu beragama Islam... ini bukan isu mahu berebut jenazah tersebut," jelas beliau.

Mengulas mengenai kewajaran untuk melibatkan ahli Parlimen yang bukan Islam dalam perbincangan mengenai pindaan akta tersebut, beliau berkata ini boleh dilakukan sekiranya ia bertujuan untuk mendapatkan pandangan mereka.

"Kalau untuk mendapatkan pendapat mereka boleh...tetapi akhirnya yang membuat keputusan mestilah yang beragama Islam sahaja," tegas beliau.

Pada 22 April lepas, Kabinet membuat keputusan bahawa anak-anak kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing semasa berkahwin, walaupun ibu atau bapa mereka kemudiannya memeluk agama lain.

Kabinet berpendapat penukaran agama tidak boleh dijadikan alasan untuk membubarkan sesuatu perkahwinan secara automatik atau untuk mendapatkan hak penjagaan terhadap anak-anak.

Jemaah menteri juga bersetuju mana-mana individu yang ingin menukar agama, perlu menyelesaikan semua masalah berkaitan tanggungjawabnya terlebih dulu, bagi mengelak pihak yang tidak bersalah, terutama kanak-kanak, menjadi mangsa.

Artikel Lain