suria

Keputusan Majlis Raja-raja tangguh undang-undang tukar agama dihormati - Muhyiddin

PARIS: Kerajaan menghormati keputusan Majlis Raja-Raja menangguhkan cadangan pindaan undang-undang yang berkaitan penukaran agama dan undang-undang keluarga Islam (Wilayah Persekutuan), kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau berkata rang undang-undang yang sedia untuk dibentangkan itu adalah di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai ketua agama di Wilayah Persekutuan.

"Tujuan kabinet memberi maklumat kepada rajaraja (mengenai pindaan) adalah untuk menjelaskan kedudukannya yang sebenar.

"Apapun, kalau itu yang diputuskan kita harus menerima... mungkin (raja-raja) perlu penjelasan yang lebih mendalam dan terperinci mengenai perkara yang mereka ada kemusykilan dan selepas itu kita berharap ianya akan dapat dilaksanakan," katanya.

Muhyiddin berkata bagi membolehkan undangundang itu dilaksanakan di seluruh negara, ia sudah tentu memerlukan semua negeri menggubal enakmen yang serupa dengan akta itu dan ini memerlukan perkenan Rajaraja dan Yang diPertua Negeri.

"Jika tidak akan wujud kejanggalan kerana kuasa yang ada akan terbatas di wilayah persekutuan saja," katanya.

Majlis Raja-Raja semalam memutuskan supaya pandangan Majlis Agama Islam Negeri diperoleh terlebih dahulu berhubung cadangan pindaan undangundang yang berkaitan penukaran agama dan undang-undang keluarga Islam (Wilayah Persekutuan).

Pada satu mesyuarat khas itu, Majlis Raja-Raja membuat keputusan untuk menangguhkan cadangan pindaan itu, demikian menurut Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain