suria

Model baru ekonomi perlukan gandingan pemimpin dan rakyat, kata Muhyiddin

LANGKAWI: Bentuk model baru ekonomi yang sedang dirancang oleh kerajaan tidak akan berjaya tanpa gandingan pemimpin dan rakyat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata rakyat sama ada di desa atau bandar perlu mempunyai kesedaran untuk bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan hasrat pemimpin itu tercapai.

Berucap pada majlis bersama rakyat di perkarangan Masjid Padang Lalang di sini hari ini, beliau berkata dengan pelaksanaan model baru ekonomi itu, proses pembangunan negara akan lebih pantas, pesat serta mantap dan faedahnya dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat.

"Sekarang ini (ekonomi) memang dah baik, dah capai tahap kemajuan tapi kita masih tak puas hati dan kita nak bentuk model ekonomi yang boleh beri pendapatan tinggi. Kita mahu usaha diteruskan dan memajukan sektor sedia ada secara lebih moden setanding dengan negara maju," katanya.

Muhyiddin turut menyentuh mengenai perpaduan, dengan berkata, hubungan baik yang terjalin selama ini perlu diperkukuhkan lagi kerana sekiranya masalah timbul ia akan menjejaskan kestabilan politik negara.

"Jangan anggap jika tidak ada masalah, kita tidak perlu berjaga-jaga, sebaliknya keadaan yang tidak ada masalah inilah yang perlu dijaga dan yang kukuh perlu diperkukuhkan lagi.

"Walaupun kita ini ada pihak yang mempunyai pandangan politik yang berbeza, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk kita berpecah belah dan berbalah kerana Islam menuntut kita untuk bersatu," katanya.

Terdahulu, pada majlis berkenaan, Muhyiddin mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1.5 juta kepada jumlah sedia ada iaitu RM500,000, bagi menambah baik serta membesarkan lagi masjid Padang Lalang. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain