suria

Orang ramai dinasihat elak beli 4 produk tradisional

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan hari ini meminta orang ramai mengelak daripada membeli atau mengguna empat produk tradisional yang mengandungi bahan-bahan yang tidak dibenarkan seperti Sibutramine, Aminotadalafil, Diphenhydramine dan Paracetamol.

Pengarah Bahagian Perkhidmatan Farmasi kementerian itu Eisah Abdul Rahman berkata produk itu ialah "Bodybeaus", "Jinglida", "Eng Leong Cordyceps , Chuanbei Plus Cough Pill 3.5gm" dan "Loong Choo Brand Reh Bih Ho Herbal Tea".

"Pendaftaran produk-produk tersebut telah dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada mesyuaratnya yang ke-216 kerana dikesan mengandungi bahan-bahan yang tidak dibenarkan dalam ubat-ubat tradisional," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Eisah berkata keempat-empat produk itu telah melalui penilaian untuk memastikan produk berkenaan selamat, berkesan dan berkualiti. Bagaimanapun, ubat yang mengandungi bahan itu kecuali Paracetamol boleh dibekalkan oleh doktor atau diperolehi dari farmasi.

Beliau berkata penggunaan ubat yang mengandungi Sibutramine tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan tekanan darah tinggi dan kesan kardiovaskular yang lain manakala penggunaan Tadalafil (atau analognya) boleh menyebabkan tekanan darah rendah dan kesan kardiovaskular lain.

"Pembekalan Diphenhydramine tanpa kawalan boleh menyebabkan pengguna mengalami kesan teruk seperti penurunan tekanan darah, kesan kardiovaskular yang lain, mengantuk, letih, gangguan koordinasi, keliru dan gangguan pada penglihatan.

Paracetamol boleh digunakan untuk rawatan kendiri, tetapi tanpa penyataan bahan itu di dalam produk tradisional pada pengambilan dos yang berlebihan boleh menyebabkan kerosakan hati," katanya.

PBKD tidak dapat menjamin keselamatan penggunaan produk-produk berkenaan yang terdapat di pasaran sekarang dan mereka yang mempunyai stok produk itu dinasihatkan menghentikan penjualan, pengedaran dan penggunaannya, katanya.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan menasihatkan penjual, pemilikan untuk penjualan dan pengedaran produk ini adalah melanggar Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Jika disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya, kata Eisah.

Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya. BERNAMA

Artikel Lain