suria

Lelaki pekak dan bisu dipenjara 14 bulan kerana miliki dadah

PULAU PINANG: Seorang lelaki pekak dan bisu dijatuhi hukuman penjara berjumlah 34 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah mengaku bersalah atas empat tuduhan termasuk memiliki dadah jenis heroin dan kanabis, April lepas.

Ramli Zainol, 30, dari Jalan Sungai, Georgetown yang bekerja sebagai pembantu restoran akan menjalani hukuman penjara selama 14 bulan iaitu tempoh hukuman yang paling panjang dikenakan kerana mahkamah menetapkan hukuman dijalankan serentak mulai tarikh dia ditangkap.

Majistret Noor Aini Yusof turut memerintahkan Ramli diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun.

Bagi pertuduhan pertama, Ramli didakwa memiliki 0.13 gram dadah jenis heroin dan monoacetylmorphine pada kirakira pukul 4.15 petang, 20 April lepas di bawah Blok b, Jalan Sungai di sini.

Dia turut didakwa atas kesalahan memiliki 0.44 gram kanabis pada masa, tarikh dan tempat yang sama. Bagi keduadua kesalahan ini, mahkamah memerintahkan Ramli dihukum penjara masing-masing 12 dan 14 bulan.

Mahkamah juga memerintahkan dia dihukum penjara dua bulan lagi kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri ketika dia ditahan oleh seorang anggota polis pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Mengikut pertuduhan keempat pula, dia didakwa memasukkan dadah jenis morfin dan ganja ke dalam dirinya pada kirakira pukul 5 petang, 20 April lepas, di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini.

Bagi kesalahan itu, Ramli dihukum penjara enam bulan.

Pertuduhan dan hukuman dibaca dan diterangkan kepadanya dengan bantuan jurubahasa isyarat.

Terdahulu, Ramli yang tidak diwakili peguam menggunakan bahasa isyarat meminta mahkamah meringankan hukuman kerana dia tidak mempunyai anggota keluarga serta insaf dengan perbuatan yang telah dilakukan. BERNAMA

Artikel Lain