suria

Wang hasil jualan pasaraya disamun

KAJANG: Hampir separuh wang hasil jualan harian sebuah pasaraya lesap apabila pengurusnya disamun di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi di sini, semalam.

Kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 2 petang ketika mangsa, Mohamad Sharif Usop, 37, membawa wang berjumlah RM65,000 hasil jualan tiga hari bekerja pasaraya itu untuk dimasukkan ke dalam akaun sebuah bank di Seksyen 16.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohamad Shakarudin Che Mood berkata mangsa yang menunggang motosikal bersama seorang rakan tiba-tiba dihampiri dua lelaki yang juga menaiki motosikal dan salah seorang daripadanya menendang motosikal mangsa sehingga jatuh sebelum beg sandang berisi wang itu dilarikan seorang lagi suspek menggunakan sebuah kereta Kancil.

Hasil maklumat orang awam mengenai kejadian itu polis bertindak dengan mengadakan sekatan jalan di lebuhraya SILK bagi menjejaki suspek.

Katanya, dalam sekatan itu polis menahan sebuah kereta Kancil yang mencurigakan dan hasil pemeriksaan, polis menemui sebuah beg sandang berisi wang bernilai RM35,000 di tempat letak kaki depan penumpang kereta berkenaan.

"Polis percaya wang itu adalah lebihan wang samun berkenaan yang sudah dibahagikan kepada dua bahagian," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini hari ini.

Sehubungan itu polis menahan pemandu kereta kancil terbabit yang juga merupakan pengurus pasaraya berkenaan dari cawangan Petaling Jaya.

Lelaki yang berumur 39 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan.

Mohamad Shakarudin berkata hasil siasatan terhadap kereta itu, polis berjaya merampas sebuah telefon bimbit, sarung tangan dan topi keledar dipercayai digunakan lelaki terbabit untuk menyamun.

Katanya polis percaya suspek dibantu lebih dari tiga orang dan polis masih memburu penunggang dan pembonceng motosikal yang menyerang mangsa (Pengurus Cawangan Bandar Baru Bangi).

Mohamad Shakarudin turut menasihatkan mana-mana pihak yang ingin memasukkan atau mengeluarkan wang dalam jumlah besar daripada bank supaya menggunakan khidmat pengawal keselamatan bagi mengelak perkara yang tidak diingini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain