suria

SPRM tahan pegawai kanan kerajaan disyaki terima rasuah RM7,000

PULAU PINANG: Seorang pegawai kanan kerajaan yang bertugas sebagai pemeriksa bangunan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima rasuah sebanyak RM7,000 bagi meluluskan projek pengubahsuaian rumah kedai kepada hotel.

Pengarah SPRM Pulau Pinang Latifah Md Yatim berkata lelaki berusia 54 tahun itu ditahan di Seberang Perai, Jumaat lalu dipercayai selepas menerima wang berkenaan. "Kami menerima maklumat daripada pengadu yang memberitahu bahawa suspek meminta wang tunai daripadanya. Wang tunai berjumlah RM7,000 itu adalah sebahagian daripada RM21,000 yang diminta pegawai kanan berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Latifah berkata mengikut perjanjian yang dipersetujui antara pemberi dan penerima, baki wang sebanyak RM14,000 akan dibayar secara ansuran iaitu RM7,000 bagi setiap pembayaran.

Katanya pegawai itu dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan jika sabit kesalahan boleh didenda lima kali nilai suapan serta penjara maksimum 20 tahun. BERNAMA

Artikel Lain