suria

Pemilihan PAS: Mat Sabu tidak rancang tarik diri, yakin menang

PETALING JAYA: Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu menyifatkan kenyataan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu kepimpinan parti diterajui oleh kepimpian ulama sebagai pandangan yang bersifat peribadi semata-mata.

"Itu pandangan peribadi (kenyataan Nik Aziz). Dalam PAS kita mengalu-alukan apa jua cadangan, sesiapa pun bebas mengeluarkan kenyataan. Namun apa yang lebih penting adalah perlembagaan PAS.

"Dalam perlembagaan kita (PAS) sesiapa sahaja boleh bertanding asalkan dia (calon) tidak bankrap dan tidak gila," katanya kepada mStar Online hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta menyatakan pendirian mengenai individu yang layak memimpin dua jawatan tertinggi PAS dalam polemik yang tercetus menjelang pemilihan Jun ini.

Semalam, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan mahu tradisi jawatan presiden dan timbalan presiden dalam parti itu diterajui oleh golongan ulama diteruskan.

Beliau menegaskan, sejarah kepimpinan PAS sejak awal penubuhannya menunjukkan bahawa hanya golongan itu yang layak untuk memimpin parti mengikut landasan.

Katanya, ulama sedia ada bukan sekadar arif dalam soal agama tetapi mereka juga adalah golongan profesional.

Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, Mohamad berkata polemik yang berlaku mengenai percanggahan pendapat dalam parti itu adalah perkara yang biasa dalam mana-mana parti.

"Kita orang veteran dalam parti, dah biasa macam ini, tak ada berpecah pun. Percanggahan pendapat ini biasa saja,"katanya.

Baru-baru ini, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Mohamed Daud Iraqi dilaporkan berkata, dua jawatan tertinggi parti itu perlu disandang oleh golongan ulama yang berpengetahuan tinggi dalam bidang agama.

Kenyataan Mohamed bagaimanapun mendapat tentangan pelbagai pihak terutamanya Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Ahmad Awang dan Dewan Pemuda PAS Kelantan yang berpendapat bahawa pemimpin yang bukan daripada aliran agama juga boleh memimpin parti itu.

Ditanya adakah beliau akan tetap bertanding walaupun ada pihak yang mahukan gologan ulama menerajui parti itu, Mat Sabu berkata: "Saya belum ada perancangan mahu menarik diri. Saya yakin boleh menang, insya-Allah."

Selain Mohamad, jawatan Timbalan Presiden yang disandang oleh, Nasharuddin Mat Isa akan dicabar oleh Naib Presiden, Datuk Husam Musa, Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk

Seri Azizan Abdul Razak, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.

Artikel Lain