suria

Polis selesai 25 kes peras ugut bunuh

BUKIT MERTAJAM: Polis Pulau Pinang menyelesaikan 25 kes memeras ugut selepas menahan tiga lelaki dan seorang wanita Indonesia dalam serbuan berasingan barubaru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata bahawa pada 7 Mac lepas, seorang wanita berusia 56 tahun dari Taman Sejahtera di sini, nyaris kerugian RM115,000 selepas seorang lelaki memberitahunya ada beberapa orang dari Kuala Lumpur dan Johor akan datang ke rumahnya untuk menangkap anaknya.

Lelaki itu menuntut bayaran RM1 juta daripada wanita itu jika dia mahu anaknya selamat tetapi apabila wanita itu berkata dia tiada wang sebanyak itu, lelaki berkenaan memberitahunya yang dia tahu bahawa wanita itu baru menerima bayaran insurans nyawa sebanyak RM2 juta ekoran kematian suaminya.

Selepas tawar menawar, pada 9 Mac, suspek itu menyuruh wanita berkenaan meletakkan wang RM100,000 di sebuah tokong Cina di Jalan Kulim di sini, dan pada 20 Mac lepas pula, sekali lagi menghubungi wanita itu bagi meminta wang perlindungan sebanyak RM36,000.

"Mangsa telah tawar menawar dengan lelaki berkenaan dan akhirnya bersetuju memberi RM15,000 dengan meninggalkan wang berkenaan di tempat yang sama," katanya.

Ayub berkata bertindak atas maklumat, polis menyerbu kawasan tokong Cina itu dan menahan lelaki berkenaan serta merampas wang itu.

Katanya dengan tertangkapnya lelaki berusia 44 tahun itu, polis percaya berjaya menyelesaikan 10 kes berkaitan pemerasan di negeri itu.

Dalam kejadian berasingan, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai mengugut seorang lelaki dan meminta wang sebanyak RM90,000.

"Salah seorang lelaki berkenaan menghubungi mangsa yang ketika itu berada di luar negara dan memaklumnya yang dia telah diupah untuk membunuh mangsa, dan bagi mengetahui individu yang mengupahnya itu dan jika mahu selamat, suspek mengarahkan mangsa memasukkan wang sebanyak RM90,000 ke dalam satu akaun," kata Ayub.

Katanya bertindak atas maklumat, polis menahan seorang lelaki berusia 52 tahun di kawasan perusahan Perai pada 21 April lepas dan menahan seorang wanita berusia 32 tahun di Taman Pelangi di sini tiga hari kemudian, manakala dalang utama iaitu seorang lelaki berusia 56 tahun, ditahan pada 23 April lepas di Taman Bagan Ajam di sini.

Polis merampas 25 kad ATM yang didaftarkan atas nama warga asing yang telah pulang ke negara asal dan dipercayai digunakan akaun mereka untuk memasukkan wang yang diugut daripada mangsa, katanya.

Ayub berkata ekoran penangkapan itu, polis dapat menyelesaikan 15 kes yang dilaporkan di negeri itu. BERNAMA

Artikel Lain