suria

Tiada taufan dalam Wanita Umno - Shahrizat

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menolak andaian berlaku pergolakan dalam sayap parti itu ekoran pelantikan tiga ketua wanita bahagian memegang beberapa jawatan di peringkat pusat pergerakan itu bagi sesi 2008/2011.

Selain daripada ia merupakan prerogatif beliau, pelantikan itu juga dibuat berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan, katanya.

"Sebenarnya tidak ada taufan dalam Wanita Umno. Secara realistiknya, kita perlu sebulan dua supaya semua orang boleh menyesuaikan diri dan menghayati kepimpinan yang baru," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Pada 16 April lepas, Shahrizat mengumumkan pelantikan Ketua Wanita Umno Bahagian Hulu Selangor, Selangor Rosni Sohar sebagai Penolong Setiausaha, Ketua Wanita Umno Bahagian Sembrong, Johor Noraslina Zainal Abidin sebagai Penolong Bendahari dan Ketua Umno Bahagian Gopeng, Perak Datuk Hamidah Osman sebagai Ketua Penerangan Wanita Umno.

Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata mungkin sesetengah pihak berasa hampa dengan keputusannya itu tetapi anggota exco pergerakan itu menunjukkan reaksi yang baik berhubung perkara itu pada mesyuarat pergerakan itu hari ini.

"Saya menunggu juga jika ada sesiapa yang akan bertanya kenapa saya lantik orang itu, tidak orang ini, tetapi tidak ada seorangpun yang soal saya, jadi ini menunjukkan mereka memahaminya kerana mereka orang politik," katanya.

Shahrizat berkata ramai di kalangan 1.3 juta anggota Wanita Umno berkaliber, berkebolehan serta memiliki sifat dan ciri kepimpinan yang tinggi.

"Tetapi malangnya, hak yang diberikan kepada saya hanyalah pelantikan setiausaha, bendahari, ketua penerangan, ketua perhubungan negeri dan naibnya sahaja, jadi saya terpaksa membuat pilihan antara 1.3 juta ahli Wanita yang sebenarnya," kata beliau.

Beliau berkata keputusan yang dibuat itu adalah berdasarkan prinsip yang beliau percaya dan bahawa tiada sesiapa yang lebih penting daripada orang lain.

"Apa saja yang kita buat, ia mesti untuk 1.3 juta ahli dan memperbaiki parti," katanya.

Shahrizat berkata beliau juga perlu mengambil kira beberapa faktor lain bagi merealisasikan misi dan visi Wanita Umno yang mahukan pembaharuan dan perubahan.

Ditanya pendirian Wanita Umno mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Penanti, beliau berkata pergerakan itu akur dengan keputusan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Jika hantar calon, kita akan bersiap sedia. Tetapi jangan ada sesiapapun memperlekehkan proses demokrasi di negara ini kerana yang akan menjadi mangsa adalah rakyat jelata. Ini yang kita tentang," katanya.

Shahrizat turut ditanya mengenai hubungan beliau dengan bekas ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz.

"Kita akan cari jalan untuk bertemu dengan Tan Sri (Rafidah) kerana kita amat menghargai sumbangan beliau dan cari jalan untuk mengeratkan semula silaturrahim antara kita," kata beliau.

Pada mesyuarat hari ini, Wanita Umno membincangkan tiga teras perjuangan sayap itu yang meliputi politik, undangundang dan pembangunan ekonomi wanita, katanya. BERNAMA

BERITA TERDAHULU

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menafikan wujudnya sebarang rasa tidak puas hati di kalangan Exconya dan juga pemimpin akar umbi berhubung pelantikan Ketua dan Naib Ketua Wanita peringkat negeri.

Beliau berkata, lantikan yang dibuat adalah berdasarkan beberapa kriteria untuk kepentingan Wanita Umno dan parti.

"Saya faham mungkin ada yang rasa... bukan kecewa, tapi mungkin harapan mereka (tidak tercapai).

"Tapi reaksi hari ini, mesyuarat berjalan dengan begitu baik sekali, tidak ada seorang pun yang menyoal tentang kenapa saya melantik orang itu atau orang ini.

"Jadi sebenarnya tidak ada taufan dalam Wanita Umno," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama pergerakan itu di sini hari ini.

Beliau menewaskan Tan Sri Rafidah Aziz pada pemilihan pergerakan itu 25 Mac lalu.

Artikel Lain