suria

16 penculik ditahan setelah terima wang tebusan RM1 juta

KUALA LUMPUR: Polis menahan 16 orang termasuk empat wanita yang disyaki terlibat dalam kes penculikan seorang kanakkanak lelaki kira-kira seminggu selepas mereka membebaskan kanak-kanak itu setelah dibayar wang tebusan RM1 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Bakri Zinin berkata antara yang ditahan termasuk ketua kumpulan itu manakala seorang lagi suspek yang sudah dikenal pasti sedang diburu.

Beliau berkata gerakan memburu kumpulan itu dilancarkan selepas polis menerima laporan mengenai kes penculikan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di Petaling Jaya pada 10 April lepas. Kanak-kanak itu dibebaskan empat hari kemudian setelah keluarganya membayar wang tebusan sebanyak RM1 juta.

Bernama difahamkan, dalam kejadian pada kirakira pukul 8.30 pagi itu, kanakkanak berkenaan diculik di hadapan rumahnya oleh empat lelaki bersenjatakan parang di Bandar Utama, Petaling Jaya di hadapan mata ibunya sendiri.

Sejurus kemudian, keluarganya menerima panggilan daripada penculik menuntut wang tebusan sebanyak RM1 juta sebelum kanakkanak itu ditinggalkan di hadapan pos pengawal kediamannya empat hari kemudian setelah tuntutan penculik itu dipenuhi.

Bakri berkata bertindak atas maklumat orang awam, polis menahan 13 orang termasuk empat wanita berusia antara 19 dan 70 tahun di sekitar Selangor pada 21 April lepas dan menemui semula baki wang tebusan sebanyak RM319,700.

Beliau berkata dalam operasi susulan pada 22 dan 23 April, polis menahan tiga lagi anggota kumpulan penculik itu di sekitar Bukit Fraser, Pahang, Juasseh, Negeri Sembilan dan Serdang, Selangor.

Polis kini memburu seorang lagi anggota kumpulan penculik itu yang dikenalpasti sebagai Paremsvaran A/L Ramu @ Veera, 26, beralamat terakhir di 587/18A, Jalan Waterfall, Taman Hijau, Rawang, Selangor.

"Lelaki yang kita buru merupakan ahli kumpulan yang memainkan peranan paling penting dalam penculikan itu. Bagaimanapun kita percaya ada lagi saki baki ahli kumpulan berkenaan yang masih bebas dan kita akan jejak mereka semua," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata antara yang ditahan ialah suri rumah, penarik kereta serta pengawal keselamatan dan setelah disiasat, tiga daripada mereka didapati mempunyai rekod jenayah lampau.

Bakri berkata polis akan menyiasat dari semua sudut termasuk kemungkinan pekerja atau pengawal keselamatan perumahan berkenaan terlibat dalam penculikan itu memandangkan kejadian itu berlaku dalam kawasan perumahan yang dikawal ketat.

"Setakat ini, kami menolak bahawa kes penculikan yang berlaku itu mempunyai unsurunsur dendam. Bagaimanapun kami juga menyiasat sama ada kesemua suspek mempunyai perhubungan dengan mangsa atau saling mengenali," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini diminta menyalurkannya kepada pegawai penyiasat kes iaitu ACP Mohd Hazreeq Yunus di talian 012-6179752 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222. BERNAMA

Artikel Lain